Isnin, 6 Ogos 2018 | 5:39pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun

BAM ambil kira beberapa faktor sebelum buat keputusan

SEPANG: Beberapa faktor perlu diambil kira sebelum Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan sama ada menyenaraikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Liew Daren bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 pada Rabu ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan antara faktor itu termasuklah kecederaan yang menimpa pemain sebelum keputusan akhir dibuat.

Beregu lelaki ke-35 dunia, Aaron-Wooi Yik menunjukkan prestasi luar biasa pada penampilan pertama mereka di Kejohanan Dunia di Nanjing China apabila berjaya mara sehingga suku akhir manakala Daren melakar kejutan dengan memenangi pingat gangsa.

Pemain berusia 31 tahun itu menjadi pemain perseorangan ketiga Malaysia yang berjaya meraih pingat selepas Datuk Lee Chong Wei (tiga perak - London 2011, Guangzhou 2013 dan Jakarta 2015) dan Wong Choong Hann (perak - Birmingham 2003).

Bercakap kepada media pada majlis penajaan daripada Air Asia di ibu pejabat syarikat penerbangan itu di sini, hari ini, Norza berkata: "Saya sudah berbincang dengan Datuk Ng Chin Chai (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) dan kami berpendapat prestasi adalah yang paling utama.

"Sebab itu, kami percaya Aaron-Wooi Yik dan Daren perlu dipertimbangkan untuk Sukan Asia. Namun, ada perkara yang perlu diambil kira terlebiha dahulu.

"Dalam kes membabitkan Aaron-Wooi Yik, mereka sudah didaftarkan untuk beraksi pada saingan Terbuka Vietnam (7 hingga 12 Ogos). Kami bimbang ia akan menjejaskan prestasi mereka pada Sukan Asia jika kami memaksa mereka bermain dalam dua kejohanan berturut-turut.

"Mereka masih muda dan kami tidak mahu terlalu memaksa mereka, kami perlu berhati-hati dalam membuat keputusan yang tepat.

"Dalam kes Daren pula, Chin Chai akan membincangkan perkara ini dengan Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki). Jika Daren disenaraikan, dia akan menggantikan sama ada Soog Joo Ven atau Cheam June Wei. Kami juga perlu berbincang dengan Daren kerana seperti semua tahu, dia mengalami kecederaan di Kejohanan Dunia.

"Beri kami beberapa hari lagi sebelum membuat keputusan," kata Norza.

Norza menambah, BAM turut menunggu maklum balas daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung kecederaan yang dialami pemain beregu campuran, Goh Liu Ying.

"Menurut Liu Ying, kecederaan itu tidak serius tetapi kami enggan mengambil sebarang risiko. Kami perlu menunggu laporan perubatan," kata Norza yang turut berpuas hati dengan prestasi pemain negara pada Kejohanan Dunia kali ini yang disifatkan lebih baik berbanding edisi tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Berita Harian X