Ahad, 5 Ogos 2018 | 11:53am
 ALEX De Minaur . - Foto EPA
ALEX De Minaur . - Foto EPA

De Minaur jumpa Zverev final Terbuka Washington

WASHINGTON: Pemain berusia 19 tahun, Alex De Minaur menyelamatkan empat mata penamat hari ini untuk layak ke final Terbuka Washington ATP, yang mana dia akan bertembung dengan juara bertahan dan pemain ketiga dunia, Alexander Zverev.

Pemain muda Australia itu menyingkirkan pemain berusia 20 tahun dari Russia, Andrey Rublev 5-7, 7-6 (8/6), 6-4 selepas dua jam 52 minit manakala Zverev, pemain Jerman berusia 21 tahun, menundukkan pemain muda Greece, Stefanos Tsitsipas 6-2, 6-4.

"Ia satu daripada kemenangan terbesar dalam karier saya," kata De Minaur. "Bertungkus-lumus dan tidak berputus asa. Saya amat berbangga dengan keupayaan diri."

De Minaur, pemain ranking ke-72, menang enam mata terakhir tie-break untuk memaksa penentuan set ketiga, kemudian mematahkan servis pemain ranking ke-46 Rublev pada game terakhir, menang menerusi peluang mata penamat keempat apabila servis pemain Russia itu double fault.

"Saya mungkin perlu melihatnya semula kerana tidak tahu bagaimana saya melakukannya," kata De Minaur. "Saya berjaya meraih beberapa mata hebat. Ia satu daripada perlawanan terbaik saya."

Ia final ATP paling muda jika umur dua pemain itu digabungkan sejak Rafael Nadal yang berusia 20 tahun mengalahkan pemain berusia 19 tahun, Novak Djokovic di Indian Wells pada 2007 selepas pencapaian separuh akhir pertama membabitkan pemain berusia 21 tahun ke bawah dalam Jelajah ATP sejak 1995 di Buenos Aires.

"Ini mengagumkan buat sukan tenis," kata Zverev. "Bagus melihat kebangkitan pemain muda."

Zverev memburu kejuaraan ATP kesembilan kariernya dan ketiga tahun ini selepas Munich dan Madrid. Dia boleh menyertai senarai pemenang berturut-turut di Washington yang termasuk pemain Argentina, Juan Martin del Potro (2008-09) serta pemain Amerika Syarikat, Andre Agassi (1990-91 dan 1998-99) dan Michael Chang (1996-97).

"Saya bermain dengan amat bagus dan harapnya boleh menang," kata Zverev. "Saya harap mampu keluar ke sana dan bermain dengan bagus sekali gus hadir di Toronto dengan satu lagi kejuaraan." - AFP

Berita Harian X