Ahad, 29 Julai 2018 | 6:47pm
GAMBAR fail, aksi pemain skuasy negara, Low Wee Wern ketika aksi perlawanan akhir wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
GAMBAR fail, aksi pemain skuasy negara, Low Wee Wern ketika aksi perlawanan akhir wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Wee Wern kembali menyengat

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara Low Wee Wern mendapat tonik berharga menjelang temasya Sukan Asia Indonesia apabila merangkul gelaran kedua berturut-turutnya dalam siri Jelajah Skuasy PSA selepas mengungguli Terbuka Tasmania di Devonport, hari ini.

Selepas hilang daripada kancah skuasy negara hampir 20 bulan, bekas pemain yang pernah menghuni ranking kelima dunia, membuktikan dia masih lagi mampu memberikan cabaran.

Biarpun terpaksa beraksi dari pusingan kelayakan berikutan menghuni ranking ke-254 dunia ketika ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak berdepan masalah menewaskan pilihan pertama, Rachael Grinham 11-6, 11-6, 12-10 seterusnya merangkul gelaran kesembilan dalam kariernya.

Wee Wern bijak menggunakan peluang yang terhidang apabila mudah memenangi dua set pertama dengan memaksa Rachael bergerak ke setiap penjuru gelanggang dan berjaya mengawal tempo permainannya.

"Ini adalah gelaran kedua PSA selepas sekian lama berehat kerana melalui tiga pembedahan lutut. Saya pernah berdepan Rachael tetapi tidak dalam tempoh dua tahun sebelum ini," kata Wee Wern.

"Dia adalah seorang pemain legenda dari Australia dan sesuatu yang menarik dapat melihat bagaimana dia mengawal dirinya di dalam gelanggang. Tapi saya tahu, saya mempunyai peluang jika sering mengajak dia bermain di bahagian belakang gelanggang kerana dia seorang pemain yang berbahaya di bahagian depan kerana anda tidak akan tahu apabila dia akan lakukan."

Kali terakhir pemain berusia 28 tahun itu beraksi dalam siri jelajah dunia PSA adalah di Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 2016 sebelum kembali di Terbuka Malaysia minggu lalu.

Pada tahun 2014 Wee Wern berada di kemuncak kariernya apabila menduduki ranking kelima dunia sebelum beberapa kecederaan memaksanya untuk meninggalkan lapangan skuasy buat sementara waktu.

Mengakui masih lagi tidak beberapa selesa berada di dalam gelanggang namun dua kemenangan yang diraihnya itu mampu untuk membantunya menjadi lebih baik menjelang Sukan Asia nanti.

 

Berita Harian X