Jumaat, 27 Julai 2018 | 6:17pm
SYED Saddiq (tiga dari kanan) menyaksikan pemeteraian MoU di antara BAM yang diwakili Norza (dua dari kanan dan Ehime yang diwakili Tokihiro Nakamura di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SYED Saddiq (tiga dari kanan) menyaksikan pemeteraian MoU di antara BAM yang diwakili Norza (dua dari kanan dan Ehime yang diwakili Tokihiro Nakamura di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

BAM mula jadikan Ehime pangkalan latihan

KUALA LUMPUR: Menjelang misi memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mula menjadikan Ehime yang terletak di Pulau Shikoku, Jepun sebagai pangkalan latihan mereka, bulan depan.

Presiden BAM,  Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, seramai 25 pemain bersama jurulatih masing-masing akan menjadi kumpulan pertama yang menjalani latihan di sana hasil daripada perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani bersama Gabenor Wilayah Ehime, Tokihiro Nakamura hari ini.

"Dalam perjanjian ini, kami akan menghantar dua kali setahun iaitu pemain senior dan pemain remaja dengan maksimum seramai 25 pemain akan dihantar.

"Kami akan menghantar tahun ini, tahun depan dan sekali lagi sebelum Sukan Olimpik Tokyo nanti yang mana pemain elit kita akan berada di sana (Ehime)," kata Norza selepas majlis MoU itu yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Norza berkata, MoU yang ditandatangani itu turut membabitkan program pertukaran pemain remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun dengan pemain remaja negara akan diserapkan dalam sistem persekolahan dan gaya hidup di Ehime bagi mempelajari nilai positif masyarakat di Jepun.

"Saya sudah mengadakan lawatan ke wilayah Ehime dan berpuas hati dengan kemudahan sukan yang disediakan serta kemudahan lain dan disebabkan itu kita memilih untuk ke sana," kata Norza.

Ketika ditanya sama ada langkah BAM menghantar pemain menjalani latihan lebih awal di Jepun mampu mencerahkan peluang negara meraih emas sulung di Olimpik, Norza berkata, apa yang lebih penting adalah memastikan seramai mungkin pemain beraksi pada temasya itu nanti.

Untuk rekod, skuad badminton memenangi tiga pingat perak ketika Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

"Kelayakan ke Olimpik akan bermula tahun depan, jadi kita perlu mempersiapkan diri bagi memastikan kita dapat melakukan yang terbaik di temasya berprestij," katanya.

Berita Harian X