Ahad, 22 Julai 2018 | 6:56pm
LOW Wee Wern (kiri) dan Abdulla Mohd Al Tamimi di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
LOW Wee Wern (kiri) dan Abdulla Mohd Al Tamimi di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Wee Wern juara Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Low Wee Wern memberi isyarat jelas kebangkitannya semula selepas melakar kemenangan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, hari ini.

Beraksi pada kejohanan PSA pertamanya selepas 20 bulan, Wee Wern mendominasi perlawanan dengan kemenangan 11-8, 11-7, 11-4 ke atas pilihan keempat, Satomi Watanabe dari Jepun pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional sekali gus memenangi saingan itu buat kali pertama.

Bekas pemain yang pernah menduduki ranking kelima dunia itu berharap kemenangan hari ini akan memberi inspirasi kepada barisan pemain lain. Terbuka Malaysia adalah gelaran kelapan sepanjang kariernya.

"Satomi memberikan segala-galanya dan dia tidak pernah berputus asa. Saya gembira kerana dapat mengekalkan rentak permainan.

"Saya mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding dia dan situasi seperti ini ia memberi kelebihan kepada saya," kata Wee Wern yang tidak pernah memenangi sebarang kemenangan sejak Terbuka China 2014.

"Saya sentiasa mahu memberikan inspirasi kepada orang lain, bukan saja di dalam skuasy, tetapi dalam kehidupan seharian.

"Saya tidak dapat beraksi selama 20 bulan dan pernah satu ketika orang ramai meragui kemampuan saya untuk kembali beraksi semula," katanya yang sebelum ini berdepan kecederaan lutut.

"Dapat memulakan kembali karier saya dan memenangi Terbuka Malaysia adalah satu pencapaian yang membanggakan. Saya tidak dapat melakukan semua ini tanpa sokongan pasukan dan penaja yang setia bersama saya sepanjang dua tahun meskipun saya tidak dapat turun beraksi," tambahnya.

Final perseorangan lelaki pula menyaksikan pemain dari Qatar, Abdulla Mohd Al Tamimi muncul juara selepas berhempas pulas menewaskan wakil Hong Kong, Tsz Fung Yip 5-11, 12-10, 11-1, 7-11, 11-5.

Abdulla berkata, dia sudah menjangkakan aksi final berlangsung sengit.

"Saya agak gementar pada awal permainan tetapi mula menemui rentak di set kedua," katanya.

Wee Wern membawa pulang AS$2,347 (RM9,524) manakala Abdulla AS$5,866 (RM23,816).

Berita Harian X