Ahad, 22 Julai 2018 | 6:55pm
KWAN Yoke Meng.
KWAN Yoke Meng.

Pearly-Ee Wei terlepas peluang cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Malaysia terus kempunan untuk menjadi juara acara beregu wanita buat kali pertama pada saingan Kejohanan Badminton Remaja Asia selepas wakil negara, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei kecundang dalam aksi final di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pearly-Ee Wei yang tampil sebagai pilihan ketiga kejohanan gagal mengekalkan momentum cemerlang mereka apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto yang kali pertama bergandingan 12-21, 16-21 dalam tempoh 20 minit.

Semalam, Pearly-Ee Wei cemerlang apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Agatha Imanuela-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi separuh akhir.

"Walaupun ini satu pencapaian yang positif untuk mereka apabila mara ke final selepas tidak diletakkan harapan tinggi, namun saya percaya mereka sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik. Hari ini, mereka tidak bermain dengan permainan mereka yang sebenar.

"Terlalu berhati-hati sehingga melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya harap mereka jadikan kekalahan ini sebagai iktibar dan terus bekerja keras bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia selepas ini.

"Apa pun, beregu Indonesia itu bermain sangat baik hari ini, taktikal mereka menjadi dan dengan sokongan penyokong, mereka beraksi sangat baik. Tahniah kepada mereka," kata ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng.

Kekalahan hari ini menyaksikan Pearly-Ee Wei mengikut jejak langkah tiga lagi pasangan negara, Chor Hooi Yee-Lim Pek Siah (1997); Tee Jing Yi-Lydia Cheah (2007) dan Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan (2011) yang sekadar muncul naib juara.

Berita Harian X