Jumaat, 20 Julai 2018 | 8:38pm
AKSI Low Wee Wern (kiri) ketika menentang pemain Hong Kong, Liu Tsz Ling pada saingan suku akhir Kejuaraan Skuash Terbuka Malaysia 2018 di Pusat Skuash Negara Bukit Jalil. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
AKSI Low Wee Wern (kiri) ketika menentang pemain Hong Kong, Liu Tsz Ling pada saingan suku akhir Kejuaraan Skuash Terbuka Malaysia 2018 di Pusat Skuash Negara Bukit Jalil. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Wee Wern, Sivasangari buat perhitungan, Nafiizwan tersingkir

KUALA LUMPUR: Meskipun menduduki ranking ke-254 dunia selain hilang daripada arena skuasy dunia selama lebih 20 bulan kerana kecederaan, namun hari ini, Low Wee Wern membuktikan dia masih tetap unggul.

Pemain wanita negara itu mendapat pujian apabila berjaya menempah tiket ke separuh akhir saingan skuasy Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Wee Wern pemain yang pernah menghuni kelompok lima terbaik dunia satu ketika dulu, melakar kejutan menewaskan pilihan kedua kejohanan dan pemain ranking ke-33 dunia, Liu Tsz Ling dari Hong Kong 10-12, 11-6, 11-6, 11-2.

Kejayaan Wee Wern menyaksikan pertembungan sesama sendiri dua pemain Malaysia di separuh akhir, apabila seorang lagi pemain negara yang juga juara kebangsaan, S Sivasangari turut melakar kemenangan.

Sivasangari yang juga pilihan ketiga kejohanan, menewaskan seorang lagi wakil Hong Kong, Lee Ka Yi 11-6, 11-5, 11-6.

Pertemuan separuh akhir itu menyajikan perlawanan ulangan dan peluang terbaik buat Wee Wern membalas dendam selepas tewas kepada Sivasangari di Kejohanan Kebangsaan dua minggu lalu. 

"Saat yang menggembirakan apabila dapat kembali bermain di peringkat ini selepas 20 bulan tidak beraksi. Biarpun masih belum berasa selesa di dalam gelanggang tapi saya gembira dapat melangkah ke peringkat ini selepas kali terakhir melakukannya enam tahun lalu. 

"Tapi saya tidak boleh menginginkan lebih dari itu dan tidak boleh mengharapkan mendapat rentak yang terbaik dengan hanya menyertai dua kejohanan. Namun jika boleh, pastinya saya ingin mara hingga ke perlawanan akhir," katanya yang dihantui kecederaan lutut sebelum ini.

Pertemuan Sivasangari dan Wee Wern yang membuat penampilan sulung dalam kalendar Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas 20 bulan, membolehkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mampu melihat sejauh mana prestasinya ketika ini sebelum beraksi di Sukan Asia nanti. 

Bagaimanapun episod berbeza dialami oleh kem lelaki negara apabila perjuangan dua wakil negara iaitu Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow terhenti di suku akhir.

Nafiizwan tewas kepada pilihan pertama kejohanan dari Hong Kong, Leo Au dalam pertarungan empat set 3-11, 10-13, 11-4, 8-11 manakala Eain Yow terpaksa akur akan kehebatan wakil Perancis, Lucas Serme apabila tewas 4-11, 7-11, 11-9, 10-12.

Bagi Nafiizwan, pertemuan menentang Leo Au di Terbuka Malaysia ini memberi peluang untuknya memperbaiki kelemahan sebelum ke Sukan Asia.

Katanya, banyak yang dia pelajari terutama untuk mengawal emosi di dalam gelanggang selain cuba untuk menguasai di awal perlawanan. 

"Penat beraksi semalam bukan alasan. Saya harus positif dan banyak yang saya pelajari hari ini dan saya akan cuba untuk tidak mengulanginya di Sukan Asia. 

"Peluang menang menentang Leo Au itu memang ada. 50-50 tapi kesilapan di set pertama dan sekiranya saya berjaya memenangi set kedua ia akan memberi perubahan besar. Tapi itulah yang saya belajar hari ini dan saya akan cuba baiki nanti," katanya yang terpaksa berehat hampir lapan bulan kerana mengalami kecederaan. 

Berita Harian X