Selasa, 17 Julai 2018 | 1:44am

Malaysia kandas di separuh akhir

KUALA LUMPUR: Perjalanan pasukan remaja kebangsaan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Indonesia berakhir di separuh akhir apabila tewas kepada Jepun di peringkat separuh akhir, hari ini.

Selepas berjaya mengejutkan juara tahun lalu, Korea Selatan, 3-2 di suku akhir, Malaysia sepatutnya boleh mengekalkan rentak kemenangan, namun mereka tewas di tangan Jepun 3-0.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng, ketika dihubungi, mengakui faktor keletihan menjadi punca utama kekalahan pemainnya.

Begitupun di sebalik kekalahan itu, Yoke Meng masih percaya pemainnya masih mampu memperbaiki prestasi dan kembali bangkit dalam acara individu yang akan bermula, Rabu ini.

"Tiada alasan tetapi saya fikir pemain kita sudah memberikan segala-galanya apabila mereka mengejutkan pilihan kedua kejohanan di suku akhir.

"Menentang Jepun, pemain kita berada di tahap sama, namun mereka mempunyai sedikit kelebihan dan bermain dengan lebih baik dalam perlawanan berkenaan."

"Bagaimanapun, saya masih berbangga dengan pemain dan mahu melihat mereka melakukan lebih baik dalam acara individu.

"Saya yakin mereka akan menang pingat dalam acara beregu dan regu campuran, namun saingan dalam acara individu agak mencabar," katanya Yoke Meng yang turut memimpin pasukan Malaysia menang gangsa tahun lalu. 

Kali terakhir Malaysia layak ke final dalam acara berpasukan ialah pada 2011. 

Berita Harian X