Sabtu, 30 Jun 2018 | 5:52pm
ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Padah merokok, BAM gugur Iskandar

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan tegas ke atas Iskandar Zulkarnain Zainuddin dengan menggugurkan pemain perseorangan lelaki itu daripada skuad Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Keputusan itu dibuat selepas Iskandar ditangkap merokok ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bulan lalu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan perkara itu berkata, tempat Iskandar akan digantikan dengan Soong Joo Ven atas cadangan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

"Selepas kami mendapati dia merokok ketika saingan Piala Thomas, kami memberikan dia amaran tetapi difahamkan dia juga turut tidak menghadiri sesi latihan selepas cuti," kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis BAM, hari ini.

"Misbun kemudian mencadangkan untuk menggugurkannya daripada Sukan Asia. Kami menghormati keputusan Misbun dan ahli majlis memberi kelulusan,"

Menurut Norza, BAM dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN) sudah mengenal pasti lima hingga enam pemain yang merokok.

"Ahli majlis menerusi Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin akan mengambil tindakan ke atas pemain yang merokok. Kami memutuskan untuk mewujudkan polisi tiada nikotin dalam BAM. Kami akan mengadakan ujian ke atas semua pemain tidak lama lagi.

"Mana-mana pemain yang didapati mempunyai nikotin dalam tubuh badan mereka akan diberi tempoh tiga bulan kerana ia adalah tempoh untuk nikotin berada dalam badan.

"Selepas tiga bulan, kami akan mengadakan ujian sekali lagi dan jika masih terdapat nikotin dalam badan mereka, pemain akan digugurkan.

"Kami faham, jika kami menggugurkan mereka terus, kami akan kehilangan pemain yang penting. Dengan bantuan ISN kami tahu ada lima hingga enam pemain," katanya.

Pemain lain yang disenarai ke Sukan Asia ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Chan Peng Soon, Goh Soon Huat, Goh Liu Ying, Shevon Lai Jemie, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Sementara itu, BAM turut mengesahkan enam pemain yang diletakkan dalam kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan dihantar ke Jakarta.

Berita Harian X