Jumaat, 8 Jun 2018 | 11:30am
JUAN Martin Del Potro. - Foto EPA
JUAN Martin Del Potro. - Foto EPA

Del Potro sedia kejutkan Nadal

PARIS: Jaguh tenis Argentina, Juan Martin del Potro berkata, dia tidak rugi apa-apa pada perlawanan separuh akhir Terbuka Perancis menentang Rafael Nadal, selepas tidak pasti sama ada dapat bermain beberapa hari sebelum kejohanan itu.

Bekas juara Terbuka AS itu yang hampir bersara daripada sukan itu dua tahun lalu kerana kecederaan pergelangan tangan yang berulang berkata, dia membuat keputusan saat akhir untuk bertanding di Roland Garros selepas mengalami kecederaan kaki sewaktu Masters Rome.

Namun selepas 12 hari, Del Potro kini bersedia menghadapi juara 10 kali Nadal pada aksi separuh akhir Terbuka Perancis pertama sejak 2009.

Situasi penting itu benar-benar memberi kesan kepadanya selepas dia menewaskan Marin Cilic pada suku akhir semalam, apabila menangis kegembiraan di tepi gelanggang.

"Saya rasa sungguh gembira mengambil keputusan tepat bermain di sini. Saya bermain dengan baik," katanya selepas menewaskan pilihan ketiga Cilic 7-6 (7/5), 5-7, 6-3, 7-5.

"Saya datang ke sini tanpa harapan yang besar, hanya melihat sejauh mana kemampuan tubuh saya selepas setiap perlawanan.

"Kini saya berada di separuh akhir dan ia sungguh bermakna buat saya. Saya tidak rugi apa-apa esok. Kita lihat apa yang mampu saya lakukan ke atas raja tanah liat."

Pilihan kelima yang mengejutkan Roger Federer untuk menjuarai Terbuka AS 2009 pada usia 20 tahun tidak menyangka pemain seperti juara Grand Slam 20 kali itu dan Nadal masih menjadi penghalang laluannya dalam kejuaraan utama sedekad selepas itu.

"Saya sangka selepas sembilan tahun saya akan menentang orang lain, bukan Rafa atau Roger," katanya.

"Namun semua perlawanan separuh akhir di Grand Slam adalah berdepan mereka. Pada Terbuka AS saya tewas kepada Rafa, di Wimbledon saya tewas kepada (Novak) Djokovic, kali ini dengan Rafa.

"Ia sesuatu yang menakjubkan dalam dunia tenis."

Del Potro melangkah ke separuh akhir kelima Grand Slam di gelanggang Philippe Chatrier hari ini dengan lawan di final sama ada bintang baru Marco Cecchinato atau Dominic Thiem . - AFP

Berita Harian X