Ahad, 3 Jun 2018 | 5:55pm
KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Belum ada rombakan menjelang C&T - Rosman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak memberi bayangan bahawa masih belum ada sebarang keputusan untuk merombak pemain menjelang mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang akan berlangsung minggu depan.

Menurutnya, dari bahagian beregu wanita mereka cuma menyediakan laporan mengenai segala kelemahan dan kekurangan di Piala Uber bulan lalu.

"Ada (cadangan atau bayangan untuk dibentangkan di (C&T) namun secara asasnya ia terarah kepada Piala Uber. Mengenai perkara lain nanti selepas C&T baru diberitahu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, mengenai rombakan yang pernah disebut sebaik tamat saingan Piala Uber di Bangkok, Rosman hanya memberitahu waktu paling sesuai ialah selepas C&T.

Sebelum ini, NSTP melaporkan bahawa perubahan drastik dijangka berlaku dalam beregu wanita berikutan aksi suram skuad Piala Uber negara di Bangkok.

Skuad negara mengakhiri saingan dengan gagal mencapai sasaran ditetapkan (suku akhir) apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Ketika itu, Rosman pernah berkata bahawa perubahan harus segera dilakukan jika tidak mahu skuad beregu wanita kekal di takuk lama.

Mengimbau kembali kempen Malaysia dalam saingan Piala Uber tahun ini, mata sumbangan beregu wanita hanya hadir melalui aksi terakhir ketika mengalahkan Perancis 5-0.

Aksi terbaik beregu wanita negara sejak kebelakangan ini ialah mempertahankan emas Sukan Komanwel di Gold Coast, apabila ia diraih melalui Vivian Hoo-Chow Mei Kuan.

Ranking terbaik beregu wanita negara ketika ini disandang Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menduduki tangga ke-17 dunia diikuti Soong Fie Cho-Tee Jing Yi (35) manakala kecederaan yang dialami Woon Khe Wei menyaksikan gandingan dia bersama Vivian tergelincir ke tempat ke-43.

Berita Harian X