Jumaat, 25 Mei 2018 | 12:38am
LEE Zii Jia mengakui lawannya, Jonatan Christie lebih mantap pada set penentuan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Mereka lebih baik'

BANGKOK: Biarpun mendahului saingan menerusi Datuk Lee Chong Wei, skuad badminton lelaki negara gagal mempamerkan aksi meyakinkan apabila tewas 1-3 kepada Indonesia pada perlawanan suku akhir Piala Thomas sebentar tadi.

Chong Wei, memberikan permulaan positif yang diingini Malaysia menewaskan Anthony Sinisuka Ginting 21-19, 21-16 pada aksi perseorangan pertama namun kegembiraan itu tidak kekal lama.

Beregu pertama Goh V Shem-Tan Wee Kiong, gagal menyekat kemaraan beregu nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tewas  21-19, 20-22, 21-13.

"Kami sudah berikan yang terbaik tetapi masih tidak mencukupi," kata Wee Kiong selepas perlawanan.

"Mereka jauh lebih baik dan sukar untuk kami mengatasi mereka."

Pada kedudukan 1-1 Malaysia menaruh harapan kepada Lee Zii Jia yang mempamerkan aksi terpuji ketika perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Denmark untuk mengulangi prestasinya.

Namun kesilapan demi kesilapan dilakukannya membawa padah apabila pemain berusia 20 tahun tewas 21-15, 11-21, 21-13 di tangan Jonatan Christie.

"Secara fizikalnya, Jonatan jauh lebih baik. Saya cuba mengawal diri pada set kedua namun dia lebih mantap pada set penentuan," kata Zii Jia yang satu hari berharap dapat menjadi pemain nombor satu dunia, menggantikan Chong Wei satu hari nanti.

Indonesia kemudiannya mengesahkan kejayaan mereka apabila beregu kedua mereka Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menewaskan gandingan muda Aaron Chia-Teo Ee Yi 21-18, 10-21, 21-9 pada perlawanan keempat.

Indonesia, yang menjuarai kejohanan itu 13 kali sebelum ini akan berdepan China pada aksi separuh akhir hari ini manakala Denmark akan berdepan Jepun.

Berita Harian X