Jumaat, 18 Mei 2018 | 5:52pm
AARON Chia (kanan) dan Wooi Yik Soh bersedia seandainya diturunkan selaku beregu kedua pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Thomas. - Foto Hasriyasyah Sabudin.
AARON Chia (kanan) dan Wooi Yik Soh bersedia seandainya diturunkan selaku beregu kedua pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Thomas. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

Aaron sedia lakukan kejutan

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia tidak gentar untuk berdepan dengan pasangan Denmark seandainya dia diturunkan pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Thomas di Bangkok 23 Mei ini.

Dia yang kali pertama akan beraksi di Piala Thomas, mengakui sudah melakukan persiapan terbaik dan bersedia seandainya ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit membuat keputusan untuk menurunkannya bersama Soh Wooi Yik selaku beregu kedua.

"Jika dapat bertemu pasangan kedua Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen kami bersedia untuk memberikan aksi terbaik dan mahu melakukan kejutan ke atas mereka," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Kedua-dua pasangan berkenaan belum pernah bertemu sebelum ini, namun jika dilihat dari segi ranking ia bagaikan langit dengan bumi apabila Aaron-Wooi Yik menduduki ranking ke-71, manakala Astrup-Skaarup Rasmussen di ranking ke-9 dunia.

"Saya rasa momentum kami selepas mara ke perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Vietnam dan Malaysia masih ada dan semakin meningkat. Kombinasi saya bersama Wooi Yik juga semakin sempurna berbeza ketika kami mula-mula bergandingan sebelum ini.

"Jurulatih juga ada memberitahu kami berkemungkinan akan berlaku pertukaran pasangan di Bangkok nanti, namun bagi saya tidak kira siapa saja pemain yang akan bergandingan dengan saya paling penting ialah terus memberi tentangan sengit," kata pemain kelahiran Batu Berendam, Melaka itu.

Aaron yang menjadikan Hendra Setiawan sebagai idolanya, mengakui ada sedikit gementar apabila kali pertama akan beraksi di kejohanan berpasukan itu.

"Tekanan memang ada sebab ini adalah kali pertama saya beraksi di kejohanan utama bersama pemain senior namun saya berjanji akan berikan yang terbaik dan berjuang untuk negara," katanya.

Selain Aaron-Wooi Yik, pemain beregu lelaki yang turun tersenarai ialah pasangan nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi, Arif Latif.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Russia, Algeria dan Denmark.

Berita Harian X