Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:57pm
PEMAIN skuasy negara, Datuk Nicol David. - Foto Owee Ah Chun
PEMAIN skuasy negara, Datuk Nicol David. - Foto Owee Ah Chun

Nicol tarik diri Terbuka British

KUALA LUMPUR: Juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David menarik diri daripada beraksi pada Terbuka British dari 13 hingga 20 Mei ini kerana kecederaan hamstring.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam mengesahkan Nicol kini mengalami masalah hamstring dan membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan berprestij itu.

Nicol yang menjuarai Terbuka British sebanyak lima kami, diundi bertemu pemain nombor 20 dunia dari Mesir, Marian Metwally pada pusingan pertama.

Maniam berkata, ia keputusan bijak dengan Sukan Asia Indonesia hanya berbaki tiga bulan.

"Nicol mengalami beberapa kecederaan pada Terbuka Antarabangsa El Gouna bulan lalu," kata Maniam.

"Ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak keadaan itu semakin buruk kerana fokus utamanya adalah untuk memenangi pingat Sukan Asia.

"Saya tidak pasti berapa lama diperlukannya untuk pulih, bagaimanapun apa yang saya boleh pastikan dia akan pulih sepenuhnya untuk Sukan Asia."

Ng Eain Yow, Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen dan S Sivasangari bagaimanapun dijangka mengambil bahagian pada kejohanan di Hull itu.

Sukan Asia dijadualkan dari 18 Ogos hingga 2 September depan. Nicol sudah memenangi enam pingat emas Sukan Asia sejak edisi 1998 di Bangkok.

Berita Harian X