Isnin, 30 April 2018 | 7:24pm
PEMAIN BAM, Goh V Shem di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMAIN BAM, Goh V Shem di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin

Amaran BAM, V Shem tetap fokus

 

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem kekal fokus menjelang saingan Piala Thomas bulan depan walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan surat amaran kepadanya susulan entri di Instagram ketika Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini.  

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, dia sudah bersiap-sedia untuk membantu skuad negara memulakan aksi cemerlang menjelang kejohanan berkenaan yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 20 hingga 27 Mei ini.

"Bagi saingan Piala Thomas kali ini saya sudah bersedia dan sudah lama melakukan persiapan. Harapan saya hanyalah satu iaitu biarlah kami mampu memperkuatkan bahagian beregu lelaki pada Piala Thomas kali ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

V Shem-Tan Wee Kiong dijangka akan disenaraikan dalam skuad berkenaan berikutan status mereka selaku pasangan nombor satu negara serta mempunyai pengalaman luas beraksi di Piala Thomas.

Skuad Piala Thomas dan Uber dijangka akan diumumkan di Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) pada Khamis ini.

Ditanya mengenai pemilihan pemain lain, V Shem mengakui semuanya bergantung kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit.

"Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga pasangan yang kuat walaupun sebelum ini mereka tumpas di Kejohanan Kebangsaan di tangan Arif Latif-Azriyn Ayub. Mereka juga mempunyai pengalaman tapi bagi saya paling penting ialah skuad kali ini mampu menjadi pencabar kepada negara lain. 

"Mengenai Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula prestasi mereka di kejohanan antarabangsa sangat memberangsangkan cuma mereka mungkin tiada pengalaman kerana tidak pernah beraksi dalam acara berpasukan," katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu juga tidak berdepan sebarang masalah jika Soon Kit menyenaraikan bekas rakan segandingannya, Lim Khim Wah yang sekarang ini dalam tempoh percubaan bersama persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

"Khim Wah masih belum ada rakan segandingan sekarang ini, mungkin dia boleh bersedia sebagai pemain simpanan. Jika dia disenaraikan dalam skuad saya tidak berdepan sebarang masalah dan mempunyai pengalaman bergandingan dengannya. 

V Shem sudah beraksi di Piala Thomas dalam tiga edisi berturut-turut sejak tahun 2012 dan berjaya membantu Malaysia muncul naib juara pada 2014.

 

Berita Harian X