Sabtu, 28 April 2018 | 7:45pm
BEKAS pemain kebangsaan, Rashid Sidek dilantik sebahagian daripada CEP BAM. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
BEKAS pemain kebangsaan, Rashid Sidek dilantik sebahagian daripada CEP BAM. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Rashid, Choong Han dilantik panel CEP

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Rashid Sidek dan Wong Choong Han dilantik menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Panel Kejurulatihan Pendidikan (CEP) Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Perkara itu diumumkan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan majlis badan induk itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Jawatankuasa bebas yang diketuai oleh Tengku Fadhilah Tengku Kamalden itu, akan melakukan penilaian berhubung status kejurulatihan yang ada ketika ini dan  merancang program bagi memperbaiki kursus kejurulatihan. 

"CEP sudah diwujudkan sejak 10 tahun lalu. Ia bukan jawatankuasa baharu, cuma ia sebelum ini berada di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan program mereka tidak melalui kelulusan daripada ahli majlis," kata Norza yang turut memaklumkan CEP akan memantau program di peringkat senior dan remaja.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, menambah kemasukan bekas pemain seperti Rashid dan Choong Han (yang juga jurulatih ketika ini) mampu meningkatkan lagi standard kejurulatihan secara keseluruhannya di negara ini. 

Turut membarisi jawatankuasa itu ialah Presiden Persatuan Badminton Perlis, A'amar Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Ong Kong Swee. 

Dalam perkembangan lain, Norza turut mengumumkan Wilayah Ehime di Jepun sudah bersetuju untuk menjadi kem latihan pusat skuad badminton negara bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Difahamkan, majlis menandatangani perjanjian dengan wilayah berkenaan akan diadakan, Julai depan. 

Pemain senior dan remaja berpeluang untuk menjalani latihan di sana bermula tahun ini. 

Cadangan lain yang diluluskan dalam mesyuarat ahli majlis, hari ini termasuk pelan ganjaran dan pengiktirafan bagi pegawai BAM yang sudah lama berkhidmat, dasar pemberi maklumat dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi kegiatan mengatur perlawanan dan laporan tahunan BAM. 

Mengenai pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand yang bermula 20 hingga 27 Mei depan, Norza mengesahkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) akan bermesyuarat, Khamis  sebelum memutuskan senarai pemain yang akan membawa cabaran negara.

Berita Harian X