Sabtu, 14 April 2018 | 10:58pm
BEKAS pemain badminton kebangsaan, Chong Wei Feng tewas 21-17, 16-21, 23-21 di tangan Lin Yu Hsien dari Taiwan. - Foto Zunnur Al Shafiq
BEKAS pemain badminton kebangsaan, Chong Wei Feng tewas 21-17, 16-21, 23-21 di tangan Lin Yu Hsien dari Taiwan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Wei Feng gagal ke final China Masters

 

KUALA LUMPUR:  Bekas pemain badminton kebangsaan Chong Wei Feng yang hanya mahu menikmati tahiun-tahun terakhirnya dalam sukan itu, terlepas peluang mara ke final China Masters apabila tewas 21-17, 16-21, 23-21 di tangan Lin Yu Hsien dari Taiwan.

Berikutan tersingkirnya Wei Feng daripada kelompok empat terakhir itu, kempen Malaysia di kejohanan itu turut berakhir.

Wei Feng, yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada tahun 2016 berkata: "Saya sedikit kecewa, kerana ia begitu hampir, tetapi tidak mengapa.

"Saya sedar siapa yang bermain lebih baik dan dengan taktik yang tepat, akan memenangi perlawanan ini.

"Jujurnya, saya hanya menikmati keadaan saya sekarang. Sasaran saya ialah untuk mendapatkan lebih banyak keputusan positif. Saya juga ingin membuktikan yang pada usia ini, saya masih mampu mencabar pemain-pemain lebih muda."

Wei Feng yang masih berpeluang merebut tempat ke Piala Thomas bulan depan, akan bertanding di Terbuka New Zealand dari 1 hingga 6 Mei ini, diikuti Terbuka Australia pada 8-13 Mei.

Tiga tempat teratas untuk perseorangan lelaki dalam skuad Piala Thomas dijangka menjadi milik Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, manakala tempat keempat masih menjadi rebutan.

Berita Harian X