Khamis, 22 March 2018 | 3:56pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria gesa pemain kembali bangkit di Gold Coast sekali gus mengekalkan tradisi itu. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria gesa pemain kembali bangkit di Gold Coast sekali gus mengekalkan tradisi itu. - Foto Owee Ah Chun

Prestasi yo-yo tak goyah BAM

KUALA LUMPUR: Walaupun bergelut dengan prestasi tidak konsisten sejak kebelakangan ini, ia tidak menghalang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran tiga pingat emas mampu diraih skuad negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Menjadi penyumbang terbesar emas kepada kontinjen negara pada temasya kedua terbesar dunia itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menggesa agar pemain kembali bangkit di Gold Coast sekali gus mengekalkan tradisi itu. 

"Dari segi sejarah, badminton sentiasa menjadi penyumbang utama emas kepada kontinjen negara di Sukan Komanwel. 

"Pemain yang dipilih harus memastikan mereka mampu membuatkan rakyat Malaysia bangga dengan sentiasa mengekalkan aksi konsisten. 

"Saya tahu semua pemain tahu tanggungjawab besar itu," ujar Norza yang baru-baru ini mengakui tidak tahan dengan prestasi hambar pemainnya, termasuk di beberapa kejohanan sebelum ini. 

Jika ada yang tanya apakah pembakar semangat buat skuad negara, jawapannya ialah kehadiran bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mampu menjadi atlet terbaik negara dalam sejarah temasya itu sekiranya dia mampu membawa pulang dua emas.  

Setakat ini, Chong Wei sudah mengumpul empat pingat emas (dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran) pada 2010 dan 2014 dan sekiranya memenangi dua emas di Gold Coast, dia akan mengatasi bekas pemain beregu, Koo Kien Keat yang mengumpul lima emas. 

Turut disenaraikan dalam skuad kali ini ialah pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Gooh Liu Ying (beregu campuran).

Malaysia akan memulakan kempen melalui acara berpasukan campuran, di mana mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Kanada, Seychelles dan Ghana. 

Pada edisi terdahulu di Glasgow, skuad negara berjaya membawa pulang tiga emas melalui V Shem-Wee Kiong, beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan berpasukan campuran.

INFO 

- SUKAN: BADMINTON

Tarikh: 5 hingga 15 April

Gelanggang: Pusat Sukan dan Riadah Carrara 

Sasaran: 3 emas

Pencapaian 2014: 3 emas

- SENARAI PEMAIN:

1. Lee Chong Wei

2. Goh V Shem

3. Tan Wee Kiong

4. Goh Soon Huat

5. Chan Peng Soon

6. Soniia Cheah Su Ya

7. Vivian Hoo Kah Mun

8. Chow Mei Kuan

9. Shevon Lai Jemie

10. Goh Liu Ying

Berita Harian X