Rabu, 21 March 2018 | 9:57pm
VIVIAN Hoo dan Chow Mei Kuan (tiada dalam gambar) mampu lakar kejutan. - FOTO OSMAN ADNAN
VIVIAN Hoo dan Chow Mei Kuan (tiada dalam gambar) mampu lakar kejutan. - FOTO OSMAN ADNAN

Rosman harap Vivian-Mei Kuan gegar Vietnam

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengharapkan gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan mampu melakarkan kejutan di Cabaran Antarabangsa Vietnam walaupun mereka hanya baru digandingkan lebih sebulan.

Menurutnya, aksi cemerlang dan kejutan di Vietnam setidak-tidaknya mampu meningkatkan keyakinan pasangan itu menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast bulan depan. 

"Ini semua untuk persiapan Sukan Komanwel, sebab itu kita mengambil keputusan untuk menggandingkan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Vivian yang diletakkan sebagai pilihan kelima bakal berdepan pasangan Taiwan, Lee Wei Tzu-Tai Wei-Ling pada aksi pusingan pertama kejohanan berkenaan, Jumaat ini selepas kejohanan itu ditangguhkan kelmarin kerana bekas Perdana Menteri Vietnam, Phan Van Khai meninggal dunia. 

Vivian dan Mei Kuan kehilangan gandingan asal, Woon Khe Wei dan Lee Meng Yean yang masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan. 

"Saya ada masa lebih kurang lima minggu untuk memantapkan gandingan mereka dan apa yang saya lihat prestasi yang dipamerkan dari masa ke semasa menampakkan peningkatan. 

"Jadi, kami cuba dalam jangka masa yang pendek ini untuk siapkan mereka. Buat masa sekarang latihan banyak tertumpu kepada mewujudkan keserasian dan mengikut taktikal yang ingin kami tekankan," kata Rosman. 

Selain Vivian-Mei Kuan, turut beraksi dalam kejohanan itu ialah Lim Chiew Sien-Teoh Mei Xing, yang bakal berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Kuo Yu Wen-Lin Wan Ching.                               

Berita Harian X