Rabu, 21 March 2018 | 5:21pm
DATUK Seri Norza Zakaria (kanan) tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo. - FOTO SALHANI IBRAHIM
DATUK Seri Norza Zakaria (kanan) tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo. - FOTO SALHANI IBRAHIM

Yongbo Pengarah Teknikal BAM?

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo untuk membimbing skuad negara pada masa akan datang. 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun menjelaskan sebarang perubahan mengenai struktur kejurulatihan sedia ada hanya akan diputuskan selepas berakhir saingan Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand Mei ini.

Jika masih terdapat penurunan prestasi, Norza mengakui pihaknya mungkin akan mengguna pakai struktur kejurulatihan lama, iaitu dengan melantik pengarah teknikal. 

Sebelum menukar sistem ketua jurulatih, legenda Denmark, Morten Frost Hansen, adalah pengarah teknikal sejak 2015 sebelum beliau mengambil keputusan meletak jawatan September lalu, atas alasan peribadi. 

"Segalanya tidak mustahil. Saya baru setahun menjawat jawatan presiden dan terus terang saya katakan tidak banyak peningkatan sejak Piala Sudirman tahun lalu. 

"Tiga bulan dari sekarang, kita akan menilai struktur kejurulatihan sedia ada dan jika tidak efektif, saya terpaksa menukar dengan mewujudkan semula jawatan pengarah teknikal," kata Norza ketika dihubungi hari ini. 

Berdasarkan struktur baharu, BAM melantik lima ketua jurulatih dengan Datuk Misbun Sidek mengendalikan persorangan lelaki, Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Datuk Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Rosman Razak (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran). 

Semalam, bekas jurulatih negara, Rashid Sidek, menggesa BAM akan melantik jurulatih berprofil tinggi seperti Yongbo, yang meninggalkan kem badminton China tahun lalu, selepas 24 tahun berkuasa. 

Menurut Rashid, Yongbo dikenali dengan sistem latihan yang sangat tegas dan mementingkan disiplin, seterusnya menjadi individu terbaik untuk memastikan pemain serta jurulatih sentiasa mematuhi kehendaknya. 

Perkara ini hangat diperkatakan selepas Norza meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemain berikutan aksi kurang memberangsangkan di Seluruh England di Birmingham, minggu lalu. 

Kejohanan besar yang bakal dihadapi pemain negara selepas ini sebelum saingan Piala Thomas dan Uber ialah Sukan Komanwel di Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.

Berita Harian X