Rabu, 7 March 2018 | 5:52pm
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai k mara ke pusingan kedua Terbuka Jerman. - Foto Luqman Hakim Zubir
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai k mara ke pusingan kedua Terbuka Jerman. - Foto Luqman Hakim Zubir

Soon Huat-Shevon langkah kanan Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai memulakan kempen badminton Terbuka Jerman di Mulheim-An-Der-Rhur, semalam dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua.

Pilihan ketiga itu, bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada gandingan adik-beradik Magee - Sam dan Chloe dari Ireland sebelum mencatat kemenangan 15-21, 21-17 dan 21-17 pada aksi pusingan pertama di Innogy Sporthalle, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.

Namun, satu lagi gandingan Malaysia yang juga pilihan keempat, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, tersingkir pada kejohanan berkenaan selepas tewas mengejut 17-21 dan 13-21 kepada Niclas Nohr-Sara Thygesen dari Denmark pada perlawanan pusingan pembukaan itu.

Beberapa pasangan beregu Malaysia akan beraksi pada pusingan pertama lewat hari ini, termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai AS$150,000 (RM585,392). - BERNAMA

Berita Harian X