Selasa, 20 Februari 2018 | 2:35pm
FEDERER mengumpul 97 kejuaraan sepanjang kariernya. FOTO/AFP
FEDERER mengumpul 97 kejuaraan sepanjang kariernya. FOTO/AFP

Federer atasi Nadal, Agassi

ROTTERDAM: Roger Federer meraikan kepulangannya ke ranking teratas dunia dengan memenangi gelaran keduanya musim ini, mengetepikan Grigor Dimitrov 6-2 6-2 pada final Kejohanan Dunia ABN AMRO di Rotterdam semalam.

Federer, 36, yang mengesahkan gelaran nombor satu dunia selepas mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan, memenangi keenam-enam pertemuannya sebelum ini dengna Dimitrov dan hanya memerlukan 55 minit untuk memastikan kemenangan pada aksi final itu.

Juara major 20 kali dari Switzerland itu kini mengumpul 97 kejuaraan sepanjang kariernya dan gelaran ketiga di Rotterdam selepas muncul juara pada tahun 2005 dan 2012.

Federer memenangi Terbuka Australia bulan lalu untuk tahun kedua berturut-turut, selain melebarkan rekodnya ke atas Dimitrov kepada 7-0.

"Ia antara minggu yang saya tidak akan lupakan sepanjang hidup saya," kata Federer yang kali terakhir menduduki tangga teratas ranking dunia itu pada tahun 2012.

"Sukar dipercayai dapat merangkul gelaran ke-97 saya dan kembali sebagai nombor satu dunia. Ia amat istimewa."

Dalam ranking ATP terbaru yang dikeluarkan hari ini, Federer memintas seteru lamanya Rafael Nadal di tangga teratas.

Federer turut mengatasi rekod Andre Agassi sebagai pemain paling tua memegang gelaran itu.

- REUTERS

 

 

Berita Harian X