Isnin, 19 Februari 2018 | 3:47pm
FEDERER kembali ke ranking nombor satu dunia. FOTO/AFP
FEDERER kembali ke ranking nombor satu dunia. FOTO/AFP

Minggu paling hebat: Federer

ROTTERDAM: Roger Federer meraikan kepulangannya ke ranking nombor satu dunia dengan menyambar gelaran Terbuka Rotterdam awal pagi tadi dan menyifatkannya sebagai "minggu terbaik dalam kariernya."

Jaguh berusia 36 tahun itu yang juga pemegang tertua status nombor satu dunia mengetepikan cabaran pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov 6-2, 6-2 dalam aksi final berat sebelah.

Ia gelaran ke-97 dimenanginya sejak beralih menjadi pemain profesional pada 1998.

Dalam era Terbuka, hanya legenda Amerika Syarikat, Jimmy Connors pernah meraih lebih banyak kejuaraan dengan merekod 109 gelaran.

"Satu minggu yang menakjubkan," kata Federer yang juga pilihan utama.

"Sasaran saya pada kejohanan ini adalah mara hingga ke separuh akhir. Ia memang menakjubkan.

"Sesuatu yang luar biasa untuk kembali menjadi pemain nombor satu dunia dalam tempoh enam tahun - ia minggu paling hebat dalam karier saya."

Federer, pemenang 20 gelaran Grand Slam, secara rasminya akan kembali merampas status pemain nombor satu dunia yang kali terakhir dipegang pada 2012 apabila ranking ATP dikemas kini hari ini. - AFP

Berita Harian X