Ahad, 28 Januari 2018 | 9:22pm
ROGER Federer dari Switzerland sebak selepas merangkul gelaran keenam Terbuka Australia menewaskan Marin Cilic di Melbourne, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE
ROGER Federer dari Switzerland sebak selepas merangkul gelaran keenam Terbuka Australia menewaskan Marin Cilic di Melbourne, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Ia seperti mimpi: Federer

MELBOURNE: Roger Federer membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila mengetepikan Marin Cilic dalam pertarungan lima set untuk merangkul gelaran keenam Terbuka Australia yang juga gelaran Grand Slam ke-20, sebentar tadi.

Juara bertahan dari Switzerland ini melengkapkan gelaran dalam tempoh tiga jam, tiga minit selepas merakam kemenangan dramatik ke atas lawannya dari Croatia, 6-2, 6-7 (5/7), 6-3, 3-6, 6-1.

Federer, yang beraksi pada final Grand Slam ke-30 dalam kariernya menyertai Novak Djokovic dan legenda Australia, Roy Emerson sebagai pemain perseorangan lelaki yang paling banyak menjulang trofi Terbuka Australia.

"Saya terlalu gembira, ia sukar dipercayai. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan, seperti kisah dongeng," kata Federer ketika menerima trofi selepas tamat perlawanan.

"Selepas musim yang cemerlang tahun lalu, ia (kejuaraan) sukar dipercayai," kata pemain berusia 36 tahun ini yang menitiskan air mata sebaik saja menamatkan mata terakhir kejohanan.

Federer berkata, dia sebenarnya sudah bersedia untuk mengubah rekod perlawanan di Melbourne dan kini merakam statistik menang-kalah kepada 94-13. Secara keseluruhan, dia merekodkan kemenangan 332-52 sepanjang penyertaan dalam pertandingan Grand Slam.

Pertarungan sengit di Arena Rod Laver itu berlangsung dalam keadaan cuaca panas dengan suhu mencecah 38 darjah celsius, namun cukup menghiburkan penonton yang hadir terutama penyokong Federer.

"Ia satu perjalanan yang cukup menakjubkan untuk melangkah ke final. Ia akan menjadi dua minggu yang terbaik dalam hidup saya, tetapi Roger beraksi cukup baik di set kelima," kata Cilic.

"Terima kasih kepada pasukan saya, anda memang menakjubkan. Kami bekerja kuat untuk musim ini, diharapkan kami mampu menjulang trofi pada masa akan datang,"

Berita Harian X