Selasa, 23 Januari 2018 | 9:51pm
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal menarik diri ketika sedang mendahului 3-6, 6-3, 6-7 (5/7), 6-2, 2-0 susulan kecederaan sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal menarik diri ketika sedang mendahului 3-6, 6-3, 6-7 (5/7), 6-2, 2-0 susulan kecederaan sebentar tadi. - Foto AFP

Kecederaan sekat hajat Nadal

MELBOURNE: Langkah Rafael Nadal memburu gelaran kedua Terbuka Australia tersekat susulan kecederaan sebentar tadi, ketika pemain bukan pilihan, Kyle Edmund melakukan kejutan dengan mara ke separuh akhir.

Nadal yang juga pemain nombor satu dunia menarik diri ketika bertemu Marin Cilic selepas mula bergelut dengan kecederaan paha kanan pada set keempat di Rod Laver Arena.

Nadal membuat keputusan menarik diri ketika sedang mendahului 3-6, 6-3, 6-7 (5/7), 6-2, 2-0 sekali gus menyaksikan Cilic yang juga bekas juara Terbuka Amerika Syarikat menempah pertemuan menentang Edmund yang mengejutkan pilihan ketiga, Grigor Dimitrov 6-4, 3-6, 6-3, 6-4.

Kedua-dua pemain itu bagaimanapun menampilkan aksi bertenaga sebelum Nadal mengalami kecederaan.

Nadal, yang tewas pada aksi final tahun lalu kepada Roger Federer, memanggil fisioterapi ketika ketinggalan 1-4 di set keempat dan sekali lagi selepas itu sebelum terpaksa menarik diri.

"Ia adalah satu persembahan yang luar biasa daripada kami berdua," kata bintang Cilic yang juga pilihan keenam. "Malang sekali nasib Rafael untuk menamatkan aksi dengan cara begini."

Tindakan Nadal itu mengikut jejak langkah Novak Djokovic yang tersingkir semalam, dengan bintang Serbia itu dilihat bergelut dengan masalah siku. - AFP

Berita Harian X