Ahad, 14 Januari 2018 | 9:27pm
PASANGAN beregu lelaki negara, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong masih belum dapat memuaskan hati ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit biarpun mereka mara sehingga separuh akhir Thailand Masters. - Foto Rosli Rahmat

Soon Kit belum puas hati prestasi V Shem-Wee Kiong

KUALA LUMPUR: Prestasi Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih belum dapat memuaskan hati ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit biarpun mereka mara sehingga separuh akhir Thailand Masters.

Pencapaian V Shem-Wee Kiong di Bangkok boleh dikira baik memandangkan ia kejohanan pertama mereka sejak kembali digandingkan selepas dipisahkan selama empat bulan.

Bagaimanapun, Soon Kit mengharapkan prestasi lebih baik ditunjukkan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berdasarkan pengalaman serta kualiti dimiliki mereka.

"Masih ada lagi kekurangan. Saya mengharapkan prestasi yang lebih baik, namun ini tetap permulaan positif daripada mereka. Banyak perkara yang perlu diperbaiki lagi," kata Soon Kit ketika dihubungi di Bangkok.

V Shem-Wee Kiong gagal mara ke final selepas tewas kepada pasangan Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash 15-21, 20-22 dalam aksi separuh akhir semalam.

"Mereka tewas kepada beregu yang lebih laju. Satu ketika mereka mendahului tetapi tidak mampu bertahan dan melakukan banyak kesilapan mudah," kata Soon Kit.

Apapun, pasangan ke-29 dunia itu berpeluang menebus kegagalan di Bangkok apabila beraksi dalam saingan Malaysia Masters di Axiata Arena Bukit Jalil yang bermula Selasa ini.

V Shem-Wee Kiong akan membuka tirai saingan menentang pilihan ketujuh dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov pada aksi pusingan pertama.

Berita Harian X