Khamis, 4 Januari 2018 | 1:11pm
PERSATUAN Tenis Australia memutuskan untuk tidak memberikan kelebihan wildcard kepada Bernard Tomic pada Terbuka Australia. - Foto Reuters
PERSATUAN Tenis Australia memutuskan untuk tidak memberikan kelebihan wildcard kepada Bernard Tomic pada Terbuka Australia. - Foto Reuters

Tomic mungkin tidak beraksi di Terbuka Australia

MELBOURNE: Bernard Tomic mungkin terpaksa menyaksikan perlawanan Terbuka Australia di tempat duduk penonton selepas Persatuan Tenis Australia (TA) memutuskan untuk tidak memberikannya kelebihan wildcard yang akan membawanya ke papan undian utama, kata penganjur, hari ini.

Presiden TA yang juga pengarah Terbuka Australia, Craig Tiley turut mengesahkan pemain kelahiran Queensland berusia 25 tahun itu menolak peluang untuk bermain di acara kelayakan di Melbourne Park minggu depan.

"Kami ada membuat tawaran. (Kapten Piala Davis) Lleyton (Hewitt) juga begitu... kami kata 'Kami mahu anda bermain merebut peluang ke Terbuka Australia dan jika anda bersetuju, sudah tentu anda berpeluang untuk layak," kata Tiley.

"Kini, untuk ke Terbuka Australia, dia tidak akan diberikan wildcard. Dia perlu bermain di pertandingan kelayakan... itu keputusan yang kami buat untuknya.

"Saya harap Bernie mahu bermain (kelayakan), tetapi secara dasarnya dia tidak bersetuju. Dia adalah salah seorang pemain utama Australia dan kami mahu melihatnya bertanding. (Tetapi) sebarang keputusan adalah haknya."

Tomic yang pernah menduduki ranking tertinggi di tangga ke-17 pada 2016, merosot ke tangga ke-140 selepas hanya menang 10 daripada 19 perlawanan peringkat elit.

Dia pernah layak hingga ke pusingan keempat Terbuka Australia sebanyak tiga kali.

Kejohanan pembuka tirai musim grand slam itu dijadualkan berlangsung di Melbourne pada 15 hingga 28 Januari. - Reuters

Berita Harian X