Selasa, 2 Januari 2018 | 10:15pm
PEMAIN beregu wanita negara, Vivian Hoo yakin gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bakal tersenarai dalam skuad kelayakan Piala Uber yang akan berlangsung di Alor Setar. - Foto fail
PEMAIN beregu wanita negara, Vivian Hoo yakin gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bakal tersenarai dalam skuad kelayakan Piala Uber yang akan berlangsung di Alor Setar. - Foto fail

Vivian yakin Meng Yean-Mei Kuan tersenarai

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo yakin gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bakal tersenarai dalam skuad kelayakan Piala Uber yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari ini.

Menurutnya, setakat ini di bahagian beregu wanita, semua gandingan dilihat mempunyai kekuatan sama rata berbanding dulu apabila hanya mengharapkan satu pasangan saja.

"Sekarang kita mempunyai tiga hingga empat gandingan yang menghuni ranking tidak jauh antara satu sama lain. Ia memang sesuatu yang positif buat skuad kita kali ini. Bagaimanapun, berdasarkan prestasi hujung tahun lalu saya rasa Mei Kuan-Meng Yean sesuai untuk menjadi gandingan kedua," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, pasangan nombor 21 dunia itu dilihat memiliki prestasi lebih baik dan berkeyakinan tinggi namun semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih.

"Sekarang ini kita tidak tahu lagi siapa yang akan disenaraikan tapi bayangan awal, kita (Vivian-Woon Khe Wei) akan menjadi pasangan pertama dan mereka pula menjadi gandingan kedua," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 27 tahun itu.

Ditanya mengenai persaingan di Kejohanan Berpasukan Asia itu, Vivian berkata negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan mempunyai kekuatan dari semua aspek.

"Secara keseluruhan pasukan kita tidak sekuat mereka, perseorangan pertama hingga ketiga dan beregu pertama hingga kedua mereka mempunyai kekuatan seimbang.

"Saya rasa pemain muda hanya lebih kepada mencari pengalaman. Jadi mereka perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menambahkan pengalaman. Paling penting ialah dapat merasai pengalaman bermain di kejohanan berpasukan," kata Vivian.

Sebagai salah seorang pemain senior, Vivian juga mahu menasihatkan kepada semua pemain yang terpilih bahawa perlu menanamkan semangat berpasukan.

"Tidak kisah menang atau kalah, paling penting ialah semangat melawan di dalam gelanggang," katanya selepas sesi latihan hari ini.

Senarai pemain ke kelayakan Piala Uber dijangka diketahui Khamis ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) dan bayangan awal Soniia Cheah, Goh Jin Wei bakal dibariskan dalam perseorangan lelaki manakala beregu pula Vivian-Khe Wei dan Mei Kuan-Meng Yean.

Berita Harian X