Isnin, 1 Januari 2018 | 9:24am
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafa Nadal akan beraksi pada 'Tie Break Tens' di Melbourne Park bermula 10 Januari ini. - Foto AFP
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafa Nadal akan beraksi pada 'Tie Break Tens' di Melbourne Park bermula 10 Januari ini. - Foto AFP

Nadal bersedia untuk Terbuka Australia

MELBOURNE: Pemain nombor satu dunia, Rafa Nadal yang bergelut untuk mengharungi perlawanan atau latihan sebelum Terbuka Australia, akan beraksi pada acara pertunjukan di Melbourne Park dan ia bakal menjadi satu-satunya persiapan untuk grand slam pembuka musim ini, kata penganjur, hari ini.

Bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu tidak bermain sejak menarik diri dari Pusingan Akhir Jelajah Dunia di London, November lalu akibat kecederaan lutut.

Dia turut menarik diri dari kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi, Kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu ini serta satu lagi acara di Sydney atas alasan tidak cukup sedia.

Bagaimanapun, pemenang grand slam sebanyak 16 kali itu akan menjadi antara pemain yang beraksi di 'Tie Break Tens' yang berlangsung di Melbourne Park bermula 10 Januari, lima hari sebelum Terbuka Australia bermula.

"Tie Break Tens adalah konsep yang menarik dan kita akan melihat beberapa aksi yang hebat," kata Nadal dalam satu kenyataan.

"Keadaan gelanggang cukup menarik dan saya bakal di saing hebat. Ia pasti sesuatu yang menyeronokkan buat peminat di Australia."

Lapan pemain yang akan tampil termasuklah Novak Djokovic, juara tiga grand slam Stan Wawrinka, pemain tuan rumah, Nick Kyrgios dan bekas pemain nombor satu dunia, Lleyton Hewitt.

Setiap pemain terpaksa mengharungi 'super tie breaks'. Pertandingan kalah mati itu menawarkan hadiah sebanyak AS$250,000 (RM1.01 juta).

"Ia akan menghidangkan persaingan yang sangat menarik," kata Pengarah Kejohanan Terbuka Australia, Craig Tiley.

"Semua pemain melakukan persiapan berbeza tetapi sebaik semangat juang mereka bermula, pasti ia menjanjikan sesuatu yang sangat hebat.

"Perlu diingat, tidak banyak ruang untuk melakukan kesilapan. Jika anda tewas tie break, anda tersingkir." - AFP

Berita Harian X