Khamis, 28 Disember 2017 | 9:10am
BEKAS pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic akan sertai Kejohanan Tenis Dunia Mubadala, esok. - Foto AFP
BEKAS pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic akan sertai Kejohanan Tenis Dunia Mubadala, esok. - Foto AFP

Awas kebangkitan Djokovic: Thiem

ABU DHABI: Bekas pemain nombor satu dunia dan juga juara 12 kali Grand Slam, Novak Djokovic akan lebih berbahaya daripada sebelum ini apabila kembali ke gelanggang selepas rehat panjang akibat kecederaan siku, kata lawannya, Dominic Thiem hari ini.

Djokovic tidak bermain sejak menarik diri pada pusingan suku akhir di Wimbledon menentang Tomas Berdych pada Julai, tetapi pemain berumur 30 tahun itu akan membuat kemunculan semula di Kejohanan Tenis Dunia Mubadala di sini esok sebelum memulakan kempen kompetitif sebagai pemain pilihan utama di Terbuka Qatar pada minggu depan.

"Kami semua tahu kemampuan Djokovic," kata Thiem yang berasal dari Austria dan akan turut bermain dalam saingan enam pemain di sini.

"Tetapi kini, jika kecederaannya pulih, dia berkemungkinan lebih berbahaya dan lebih bagus jika mempunyai sedikit masa mengembalikan tenaga. Saya rasa semua orang mahu tahu bagaimana dia bermain semula dan kita lihat bagaimana permainan pertamanya di sini."

Thiem rasakan Djokovic boleh melakukan impak yang sama seperti Roger Federer dan Rafael Nadal yang kembali daripada kecederaan tahun ini.

Federer memenangi Terbuka Australia dan mencatat rekod Wimbledon kelapan sementara Nadal menjulang gelaran Terbuka Perancis buat kali ke-10 dan Tebuka Amerika Syarikat.

"Saya rasa kami boleh menjangkakan perkara yang sama daripada Djokovic kerana dia berada liga yang sama dengan Roger dan Rafa. Dia juga adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang masa," kata Thiem yang memenangi perlawanan pertama menentang Djokovic selepas enam pertemuan di suku akhir Terbuka Perancis pada Jun lalu.

"Ia akan menjadi tahun yang menarik. Ada pemain yang kembali daripada kecederaan tetapi selain Novak, tidak ada pemain lain yang akan kembali seperti Roger dan Rafa.

"Ia terlalu sukar. Saya rasa semua orang tidak sabar untuk memulakan musim ini."

- AFP

Berita Harian X