Sabtu, 9 Disember 2017 | 9:51pm
NORZA menyampaikan ucapan ketika perhimpunan bersama Ahli Lembaga Persatuan dan barisan pemain di Pusat Latihan Badminton Bukit Kiara. - Foto Supian Ahmad
NORZA menyampaikan ucapan ketika perhimpunan bersama Ahli Lembaga Persatuan dan barisan pemain di Pusat Latihan Badminton Bukit Kiara. - Foto Supian Ahmad

Pelatih badminton remaja bersekolah di ABM

KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja negara di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tidak perlu lagi ke sekolah untuk sesi pembelajaran sebaik dipindahkan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, menjelang suku pertama tahun 2018.

Mereka akan meneruskan sesi pembelajaran di bilik khas disediakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di ABM.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata langkah itu bertujuan memudahkan urusan latihan serta pembelajaran pemain yang kini berada di SSBJ.

Katanya, BAM pada awalnya menyasarkan perpindahan seramai 60 pemain pada Januari ini tetapi atas beberapa faktor membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan, perkara itu terpaksa ditunda.

Beliau memaklumkan ABM akan diserahkan sepenuhnya kepada KBS pada 19 Januari ini lengkap dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

"BAM sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan bagi menentukan jumlah subjek yang akan diajar kepada para pelatih di akademi ini.

"Menjelang suku pertama 2018, para pelajar SSBJ akan masuk ke akademi ini dan mereka semua akan menjalani latihan selain meneruskan pembelajaran di sini mengikut jadual yang akan ditetapkan.

"KBS akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Pendidikan bagi meminta guru dihantar ke sini untuk sesi pembelajaran dengan enam subjek utama akan diajar termasuk Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris.

"Kami juga akan bertemu dengan ibu bapa pelajar ini bagi menerangkan keadaan yang sedang berlaku agar mereka faham dengan segala proses yang terlibat," katanya selepas mesyuarat ahli majlis BAM di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, BAM hari ini menyerahkan hadiah kemenangan serta bonus perlawanan keseluruhan berjumlah RM1.77 juta kepada pemain yang berjaya meraih kejayaan dalam kejohanan disertai.

BAM turut melancarkan laman sosial Instagram rasmi dan Twitter rasmi badan induk itu bagi membolehkan para peminat sukan itu mengikuti perkembangan semasa yang berlaku terhadap pasukan kebangsaan serta organisasi berkenaan.

Berita Harian X