Khamis, 30 November 2017 | 11:08pm
Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean kejutkan pilihan utama, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand sekali gus layak ke suku akhir Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Korea Masters, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean kejutkan pilihan utama, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand sekali gus layak ke suku akhir Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Korea Masters, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kejutkan pilihan utama

KUALA LUMPUR: Ia boleh dianggap sebagai kemenangan paling manis buat beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila mengejutkan pilihan utama, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand sekali gus layak ke suku akhir Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Korea Masters, hari ini.

Beregu kedua Malaysia itu pernah ditewaskan gandingan sama di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu dan di Gwangju, Mei Kuan-Meng Yean membuktikan kemampuan menerusi kemenangan 21-13, 21-12 dalam tempoh 38 minit.

Mei Kuan-Meng Yean yang mengimpikan untuk menamatkan musim ini dengan gemilang, mengukuhkan peluang untuk mewakili negara di kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, tahun depan.

"Kemenangan ini membalas dendam kekecewaan selepas kami tewas tipis di tangan mereka (Jongkolphan-Rawinda) ketika Sukan SEA lalu. Kami berusaha mengkaji corak permainan mereka dan ia berbaloi," kata Meng Yean ketika dihubungi.

"Semua yang kami lakukan hari ini cukup menjadi. Pergerakan kami di gelanggang boleh dianggap sempurna.

"Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi sebegini dan menamatkan kejohanan dengan baik. Kami berlatih dengan keras dan saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menuai hasilnya."

Meng Yean menambah, dia mahu mula bersaing di kejohanan lebih besar (Siri Super) tetapi untuk merealisasikan hasrat berkenaan, dia dan Mei Kuan perlu terlebih dulu membuktikan kemampuan di peringkat GP Emas.

"Ini adalah kejohanan terakhir kami tahun ini dan saya sering mengingatkan diri supaya menamatkannya dengan cemerlang. Jika keputusan tidak menyebelahi, kami harus pastikan semangat kami tidak luntur.

"Saya mengimpikan untuk bermain di kejohanan lebih besar dan untuk itu, saya sekurang-kurangnya perlu menang aksi GP Emas. Saya juga mahu bermain menentang beregu utama."

Mei Kuan-Meng Yean akan berdepan beregu Korea Selatan, Chae Yoo Jung-Kim Hye Rin bagi memburu tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, aksi pemain perseorangan lelaki, wanita dan beregu campuran negara di kejohanan itu berakhir apabila Soong Joo Ven, Chong Wei Feng, Sonia Cheah dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See tersingkir di pusingan ketiga dan kedua.

Berita Harian X