Rabu, 29 November 2017 | 9:51pm
BEKAS pemain tenis nombor satu dunia, Serena Williams masih belum beri keputusan untuk beraksi di Grand Slam pertama 2018 di Terbuka Australia, Januari ini. - Foto AGENSI

Serena, Kuznetsova mungkin terlepas aksi Terbuka Australia

LONDON: Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Serena Williams masih berteka-teki sama ada akan tampil beraksi di Grand Slam pertama 2018 di Terbuka Australia, Januari ini.

Selain bintang Amerika Syarikat (AS) itu, pemain nombor 12 dunia, Svetlana Kuznetsova juga belum mengesahkan penampilannya di Australia selepas mengharungi pembedahan pergelangan tangan.

Ketika menjuarai Terbuka Australia tahun ini yang juga mahkota Grand Slam ke-23 kariernya di Melbourne, Serena sedang mengandung selama dua bulan tetapi dia berharap untuk mempertahankan kejuaraannya sekali pun baru melahirkan anak pada September lalu.

"Serena sedang mempersiapkan diri bagi 2018,." kata jurulatihnya, Patrick Mouratoglou kepada CNN. "Dia sedang menjalani latihan dan kembali mendapatkan semula bentuk badannya. Saya akan menyertainya tidak lama lagi di Florida.

"Kami akan melihat bagaimana reaksi badannya dan bagaimana tahap permainannya dan kemudian kami akan membuat keputusan mengenai Australia."

Pemain Russia, Svetlana memberitahu media tempatan bahawa dia sedang menjalani pemulihan susulan pembedahan pergelangan tangan, awal bulan ini.

Dia berkata bahawa pihaknya tidak menetapkan tempoh masa yang khusus untuk kembali beraksi.

"Saya mendapat dua kecederaan di pergelangan tangan saya jadi saya perlu membuat pembedahan," kata pemain berusia 32 tahun yang juga pemenang dua gelaran Grand Slam itu.

"Ia sesuatu yang rumit. Saya masih dalam proses pemulihan dan doktor tidak bercakap mengenai tarikh yang khusus bila saya boleh mula berlatih dan bermain. Kemungkinan besar, saya akan terlepas aksi di Australia."

Terbuka Australia dijadual bermula pada 15 hingga 28 Januari ini. - Reuters

Berita Harian X