Ahad, 19 November 2017 | 8:25am
PEMAIN Belgium, David Goffin melakar kejutan ke atas Roger Federer dalam aksi separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Belgium, David Goffin melakar kejutan ke atas Roger Federer dalam aksi separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Goffin kejutkan Federer

LONDON: David Goffin melakar kejutan ke atas pemain pilihan, Roger Federer dalam aksi separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi dan akan berdepan Grigor Dimitrov bagi perebutan gelaran juara di London.

Pemain Belgium itu tidak pernah menewaskan juara Grand Slam 19 kali berkenaan dalam enam percubaan sebelum ini, dan dia berdepan masalah besar pada awalnya apabila tewas set pertama sebelum bangkit untuk melakar kemenangan 2-6, 6-3, 6-4.

ROGER Federer ketika membalas pukulan David Goffin aksi separuh akhir ATP Final di O2 Arena, awal pagi tadi. - Foto AFP
ROGER Federer ketika membalas pukulan David Goffin aksi separuh akhir ATP Final di O2 Arena, awal pagi tadi. - Foto AFP

Pemain nombor dua dunia, Federer, 36, memenangi set kesembilan berturut-turutnya ke atas Goffin hanya dalam tempoh 33 minit.

Bagaimanapun, Goffin yang mengakui dia tidak mempunyai idea untuk menewaskan Federer dalam kenyataannya 24 jam sebelum perlawanan berlangsung kembali bangkit di set kedua dan mematahkan rentak permainannya lawannya.

"Saya mula merasakan kawalan bola saya lebih baik pada hujung set pertama, jadi saya mahu lebih agresif," kata Goffin.

"Sebaik saya mendapat peluang untuk melakukan pukulan, tidak kira pukulan balas atau servis, itu adalah kunci utamanya."

AKSI David Goffin ketika bertemu Roger Federer pada separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters
AKSI David Goffin ketika bertemu Roger Federer pada separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Goffin adalah pemain keenam yang berjaya menewaskan Rafael Nadal dan Federer dalam kejohanan sama dan yang pertama sejak Novak Djokovic melakukannya pada ATP Final edisi 2015.

"Kedua-dua pemain adalah istimewa. Ia adalah kali pertama saya bertemu Rafa dan ini adalah separuh akhir pertama saya di sini.

"Untuk menewaskan Federer buat kali pertama dalam kejohanan besar seperti ini, ia adalah detik yang menakjubkan. Ia adalah kemenangan terbaik dalam kerjaya saya," kata Goffin.

REAKSI Roger Federer selepas tewas kepada David Goffin dalam aksi separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters
REAKSI Roger Federer selepas tewas kepada David Goffin dalam aksi separuh akhir ATP Final, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Sementara itu, Federer yang terlepas peluang untuk menutup tirai musim ini dengan penuh bergaya selepas memenangi Terbuka Australia dan kejuaraan kelapan Wimbldeon berkata, Goffin menjadi pemain yang semakin baik.

"Ia sesuatu yang mengecewakan saya kerana ia adalah tertutup, gelanggang yang saya gemari. Namun, saya ada peluang tetapi saya melepaskannya.

"Goffin pemain yang komited dan itu yang membuatkannya berbeza," katanya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, menyaksikan pemain pilihan keenam dari Bulgaria, Dimitrov menamatkan kisah dongeng Jack Sock apabila mencatat kemenangan 2-6, 6-3, 6-4. - AFP

Berita Harian X