Isnin, 6 November 2017 | 7:00pm
BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei, menarik diri daripada beraksi di Terbuka Macau, esok bagi memastikan mereka lebih cergas serta bertenaga menjelang Terbuka China dan Hong Kong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Terbuka Macau: Vivian-Khe Wei tarik diri

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menarik diri daripada beraksi di Terbuka Macau, esok bagi memastikan mereka lebih cergas serta bertenaga menjelang Terbuka China dan Hong Kong.

Vivian mengakui dia dan Khe Wei memerlukan proses pemulihan selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut di Eropah iaitu Terbuka Denmark dan Perancis.

"Kami bukan cedera tapi hanya mahu memulihkan tahap kecergasan untuk membolehkan kami lebih kuat menjelang dua kejohanan selepas ini (Terbuka China dan Hong Kong)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berdasarkan undian awal Terbuka Macau, Vivian-Khe Wei yang juga pilihan utama, akan berdepan dengan pemain dari peringkat kelayakan di pusingan pertama.

"Keputusan ini juga membolehkan kami melakukan persediaan rapi untuk dua lagi kejohanan bertaraf Siri Super iaitu Terbuka China dan Hong Kong," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Keputusan Vivian-Khe Wei itu dianggap tepat, apatah lagi, selepas mereka tumpas di pusingan pertama Terbuka Denmark dan Perancis.

CHOW Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean akan menggalas cabaran di Terbuka Macau selepas ketiadaan Vivian-Khe Wei. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
CHOW Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean akan menggalas cabaran di Terbuka Macau selepas ketiadaan Vivian-Khe Wei. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Gandingan yang menghuni ranking ke-14 dunia itu tumpas di tangan pasangan China, Huang Dongping-Li Yinhui 17-21, 14-21 pada pusingan pertama Terbuka Denmark, sebelum tunduk kepada Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto dari Jepun 22-24, 19-21 di Terbuka Perancis.

Ketiadaan Vivian-Khe Wei menyaksikan cabaran beregu wanita negara di Terbuka Macau digalas Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen.

Mei Kuan-Meng Yean akan berdepan pemain dari pusingan kelayakan, manakala Yin Loo-Cheng Wen yang juga pilihan keempat bakal bertemu Xiao Min Lin-Wu Fang Chien dari Taiwan di pusingan pertama.

Berita Harian X