Jumaat, 20 Oktober 2017 | 8:50pm
AKSI pemain skuasy negara S Sivasangari (kiri) ketika menentang Satomi Watanabe dari Jepun pada saingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi
AKSI pemain skuasy negara S Sivasangari (kiri) ketika menentang Satomi Watanabe dari Jepun pada saingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi

Sivasangari ke final Skuasy Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal selangkah lagi buat pemain wanita negara, S Sivasangari untuk menjadi pemain kedua negara bergelar juara di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia selepas Datuk Nicol David, apabila menempah tiket ke perlawanan akhir.

Di pentas separuh akhir sebentar tadi, Sivasangari menjadikan juara remaja dunia 2017 dari Jepun, Satomi Watanabe sebagai mangsanya apabila menang dalam pertarungan empat set dengan keputusan 11-8, 6-11, 11-2, 11-7.

Bagaimanapun, pemain berusia 18 tahun dari Kedah itu sedar dia perlu menempuh satu lagi ujian sebelum dinobatkan sebagai juara.

"Ini adalah pentas akhir yang pertama bagi saya di kejuaraan besar yang menawarkan hadiah bernilai AS$10,000 (RM42,265). Saya gembira menjadi wakil negara di final. Tetapi ia belum berakhir, masih ada satu lagi halangan untuk dilepasi.

"Saya harap tuah memihak kepada saya kerana mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya.

PEMAIN Eain Yow Ng (kiri) menentang rakan senegara Ivan Yuen pada saingan separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi
PEMAIN Eain Yow Ng (kiri) menentang rakan senegara Ivan Yuen pada saingan separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi

Tegasnya, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah mendapatkan rehat secukupnya dan bersedia menghadapi cabaran esok.

Mengulas mengenai perlawanannya menentang Satomi, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berkata, dia diberi tentangan sengit di dua set awal sehingga lawan berjaya mengikat kedudukan 1-1.

Sivasangari mengakui dia melakukan kesilapan apabila membenarkan lawan mengawal perlawanan dan lebih banyak bergerak di bahagian belakang.

Menanti Sivasangari di pentas akhir esok adalah pemain pilihan ketiga dari Afrika Selatan, Milny Louw yang berjaya menewaskan pilihan pertama dari Mesir, Zeina Mickawy 5-11, 11-6, 11-6, 12-10.

Berdasarkan rekod pertemuan, Sivasangari mempunyai kelebihan ke atas juara kebangsaan Afrika Selatan itu.

Kali terakhir mereka bertemu adalah tiga minggu lalu dengan kemenangan berpihak kepada pemain negara, 3-0.

Kali terakhir pemain negara menjuarai Terbuka Malaysia adalah pada 2013, menerusi Nicol.

Ikon skuasy negara itu berjaya merangkul gelaran juara sebanyak lapan kali sebelum dominasinya dipecahkan pemain Mesir, Raneem El Weleily pada 2012 dan 2014.

Berita Harian X