Ahad, 1 Oktober 2017 | 12:40pm
PEMAIN England, Sarah-Jane Perry (kiri) berjaya lebur impian Nicol David selepas menang 8-11, 8-11, 11-7, 14-12, 11-7 pada final Terbuka Netsuite di San Francisco, sebentar tadi.
PEMAIN England, Sarah-Jane Perry (kiri) berjaya lebur impian Nicol David selepas menang 8-11, 8-11, 11-7, 14-12, 11-7 pada final Terbuka Netsuite di San Francisco, sebentar tadi.

Perry leburkan impian Nicol

KUALA LUMPUR: Pemain England, Sarah-Jane Perry menafikan hasrat Nicol David untuk merangkul trofi kejuaraan Jelajah PSA pertama musim ini, apabila menang 8-11, 8-11, 11-7, 14-12, 11-7 di pentas akhir Terbuka Netsuite di San Francisco, sebentar tadi.

Nicol - bekas pemain nombor satu dunia memiliki peluang terbaik di set keempat untuk menamatkan perlawanan tetapi gagal mengekang asakan Perry yang berjaya merapatkan jurang selepas ketinggalan dua set pertama.

Kali terakhir Nicol meraih kejuaraan ialah di Columbia pada Mac lalu.

Perry - pemain nombor enam dunia merakam kejayaan keempat ke atas Nicol dan menyamai rekod pertembungan antara mereka kepada kedudukan 4-4.

Nicol yang kini berada di ranking kelima dunia, memburu gelaran ke-82 dalam karier dalam siri Jelajah PSA. Dia bermula cemerlang dalam perlawanan akhir pertamanya di San Francisco dalam dua penampilan.

Bagaimanapun, Perry, berjaya mengejar kedudukan di set ketiga selepas ketinggalan 4-6 dan menang dengan mata 11-7. Dia mendahului 6-0 di set keempat sebelum Nicol merapatkan jurang dan kembali mendahului 8-7.

Namun, Perry berjaya meraih tiga mata penting selepas itu dan pada kedudukan 12-11, Perry menterjemahkan peluang ketiga yang dimilikinya untuk menamatkan saingan dengan keputusan 14-12.

Dalam set penentuan, Perry lebih banyak menguasai perlawanan sejak awal, walaupun pada satu ketika Nicol berjaya mendahului 6-5, namun pemain England ini tidak lagi menoleh ke belakang untuk menamatkan saingan dengan mata 11-7.

Berita Harian X