Khamis, 17 Ogos 2017 | 6:55pm
PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hensen. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hensen. - Foto Luqman Hakim Zubir

Frost tambah sasaran emas

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua pingat emas untuk skuad negara apabila mereka membuka kempen Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) minggu depan, tetapi pengarah teknikal BAM, Morten Frost percaya kutipan pingat tidak akan terhenti setakat itu saja.

Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, bekas jaguh Denmark itu berkata Malaysia turut mampu melakukan kejutan dalam acara perseorangan lelaki, selain dua emas yang disasarkan menerusi acara beregu wanita dan campuran.

Badminton memulakan kempen dengan acara berpasukan Selasa depan, sebelum acara perseorangan pada Sabtu (26 Ogos), kedua-duanya di Arena Axiata, Bukit Jalil.

"Kami mempunyai senarai semua pemain dalam acara individu, dan berdasarkan ranking dunia, kami tahu siapa yang diletakkan sebagai pemain pilihan," kata Frost.

"Apa yang mengejutkan, saya rasa perseorangan lelaki adalah saingan yang paling terbuka. Kita sebenarnya mampu melakar kejayaan dan saya menaruh keyakinan ke atas Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) dan Lee Zii Jia untuk tampil cemerlang.

"Indonesia mendaftarkan Jonatan Christie, yang sudah pasti akan diletakkan sebagai pilihan utama kerana ranking dunianya (tangga ke-23), diikuti Khosit Phetpradab dari Thailand (ke-40), pemain Indonesia Ihsan Maulana Mustofa (ke-47) dan Iskandar (ke-52).

"Kita perlu ingat Nguyen Tien Minh (ke-53) dari Vietnam juga turut serta dan wakil Singapura Loh Kean Yew juga mampu memberi cabaran. Bagaimanapun jika pemain kita fokus dan melakukan pukulan padu, kita mampu melakukan kejutan."

Pada edisi terdahulu di Singapura dua tahun lalu, Chong Wei Feng muncul juara selepas mengatasi rakan senegara Mohamed Arif Abdul Latif dalam aksi final.

Ketika diminta mengulas berkenaan acara perseorangan wanita, Frost berkata: "Sama seperti perseorangan lelaki, wakil negara Soniia Cheah diletakkan sebagai pilihan keempat berdasarkan ranking dunia.

"Cuma apa yang berbeza, Thailand dan Indonesia menghantar pemain yang jauh lebih hebat. Juara bertahan Busanan (Ongbamrungphan) yang menduduki ranking ke-12 dunia adalah pilihan utama, diikuti pilihan kedua dari Indonesia, Fitriani (ke-21 dunia) dan Pornpawee Chochuwong (ke-22).

"Soniaa berada di tahap terbaik dan dia berlatih dengan begitu gigih, jadi kita lihat nanti. Perseorangan kedua, Goh Jin Wei (pemenang gangsa 2015) juga kembali menjalani latihan minggu lalu tetapi kami masih memantau perkembangannya. Dia pasti bersedia menjelang temasya nanti," katanya.

Undian bagi acara individu akan dilakukan Jumaat depan (25 Ogos).

Berita Harian X