Rabu, 9 Ogos 2017 | 4:30pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.- Foto Osman Adnan
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.- Foto Osman Adnan

Tiada hukuman ke atas Soon Huat - BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengenakan sebarang hukuman kepada pemain beregu campuran, Goh Soon Huat yang melanggar perintah berkurung Kem Akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Hotel Renaissance, Sabtu lalu.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata keputusan itu diambil selepas mendapat maklum balas dari Pengurus Pasukan, Mat Rashid Jahlil mengenai perkara sebenar yang berlaku sebelum ini.

"Mengenai apa yang dilaporkan dalam media berkenaan Soon Huat melanggar perintah berkurung, saya bersama pengurus pasukan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikannya," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Jelasnya, keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Soon Huat adalah kerana BAM mahu pemain itu terus kekal fokus di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan membuka tirai minggu depan.

"Kita juga sedia maklum bahawa sekarang ini pemain sedang menghadapi persiapan terakhir dan saya juga sudah mendapatkan penjelasan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan Ketua Jurulatih

Perseorangan Lelaki Negara, Datuk Misbun Sidek mengenai persiapan pemain yang akan ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia," katanya.

Kelmarin, Soon Huat sudah memberikan penjelasan kepada media mengenai apa yang berlaku Sabtu lalu dan dia tidak keluar terlalu jauh dari tempat penginapan (Hotel Renaissance) hanya berjumpa rakannya di sekitar lobi.

Soon Huat yang akan bergandingan bersama Shevon Lai diletakkan harapan untuk meraih emas dalam acara beregu campuran seterusnya menamatkan penantian 18 tahun negara apabila kali terakhir dilakukan Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee di Brunei.

Norza juga mengakui BAM masih kekal dengan sasaran dua emas, dua perak dan empat gangsa, menyamai dengan pencapaian yang dicatatkan di Singapura dua tahun lalu.

"Kita juga akan mengadakan Kem Bina Semangat Sukan SEA di Bukit Fraser Jumaat hingga Ahad ini dan dengan prestasi yang baik saya rasa kita mampu mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Berita Harian X