Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:41am
GANDINGAN beregu, Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi. - Foto Osman Adnan
GANDINGAN beregu, Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi. - Foto Osman Adnan

KL2017: Yew Sin-Ee Yi mula terasa bahang

KUALA LUMPUR: Beregu badminton lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi sudah mula merasai bahang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan menyingkap tirainya 19 Ogos ini.

Hari ini, beregu nombor dua negara itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum merakam kemenangan 19-21, 21-14, 21-16 ke atas pasangan Taiwan, Liao Min Chun-Su Cheng Heng untuk mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka New Zealand di Auckland.

"Sudah tentu kami rasa berdebar dan gemuruh, kerana kami tidak mahu menghampakan peminat tempatan.

"Pada masa sama, kami tidak boleh hilang fokus. Kini kami berada di New Zealand, kami juga perlu beraksi cemerlang di sini.

"Setiap malam sebelum tidur, saya memikirkan tentang Sukan SEA dan kebarangkalian untuk merangkul pingat emas, tetapi kita perlu menghadapinya langkah demi langkah.

"Kita lihat dulu sejauh mana kami mampu mara di kejohanan ini. Ia mungkin akan meningkatkan keyakinan kami menjelang temasya itu nanti," kata Ee Yi.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan itu akan bertemu lawan dari China, He Jiting-Tan Qiang dalam perebutan tempat ke final.

Sementara itu, dalam acara beregu wanita, gandingan nombor satu negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan pasangan China Qiao Shijun-Zhang Shuxian 21-7, 21-16 pada aksi suku akhir semalam.

Beregu utama Malaysia itu akan bertemu lawan dari Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam separuh akhir hari ini.

"Rentak permainan kami cukup baik setakat ini. Saya harap kami dapat mengekalkannya sehingga sukan SEA nanti," kata Vivian.

Bagaimanapun cabaran Joyce Choong-Goh Yea Ching terhenti selepas perlawanan sengit menentang pilihan keempat dari Jepun Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata yang menang 28-30, 21-11, 22-20.

Perjalanan perseorangan wanita negara, Ho Yen Mei, turut terhenti apabila tewas 9-21, 21-10, 21-13 di tangan pilihan kedua Fitriani dari Indonesia.

Berita Harian X