KUALA LUMPUR: Atlet lompat bergalah wanita negara, Nur Sarah Adi berharap dapat kekal berlatih bersama jurulatihnya, Manshahar Abdul Jalil untuk sekurang-kurangnya tiga bulan lagi bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.
Manshahar yang sebelum ini memikul tugas selaku ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan sejak 2019 memutuskan untuk bersara, awal tahun ini.
Nur Sarah, 22, berkata walaupun Manshahar kini tidak lagi memikul tanggungjawab berkenaan tetapi dia berharap jurulatih itu akan terus membimbingnya.
"Buat masa ini, saya masih berlatih dengan jurulatih Mansahar tetapi saya tidak tahu lagi apa yang akan terjadi untuk akan datang. Saya harap saya akan bersama dengannya sehingga Sukan SEA.
"Hujung minggu ini saya ada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, dan kalau ikutkan perancangan saya akan menyertai beberapa lagi kejohanan untuk persediaan ke Sukan SEA antaranya Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Kalau jadi, saya juga akan berangkat ke Taiwan pada Mac untuk satu kejohanan dalam dewan di sana, tetapi semuanya bergantung kepada MSN," kata Nur Sarah yang sudah berlatih di bawah bimbingan Mansahar sejak April tahun lalu.
Manshahar adalah watak penting yang mencaturkan langkah untuk menyenaraikan Nur Sarah pada saat akhir beraksi dalam acara lompat bergalah pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Nur Sarah berjaya memenangi pingat emas dengan melakukan lompatan 4 meter (m).
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Wira Mark Ling mengesahkan sudah mencapai kata sepakat berhubung calon yang bakal menggantikan tempat Manshahar Abdul Jalil dan perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.