Isnin, 6 Februari 2023 | 8:00pm
Manshahar bersara selepas tiga tahun setengah pikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad olahraga negara.
Manshahar bersara selepas tiga tahun setengah pikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad olahraga negara.

Calon ganti Manshahar dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mencapai kata sepakat berhubung calon yang bakal menggantikan tempat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil yang bersara.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling, berkata perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini sebaik mendapat 'lampu hijau' daripada MSN.

"KOM dan MSN sudah mengadakan perbincangan mengenai calon-calon yang berpotensi bagi jawatan selaku ketua jurulatih dan barisan jurulatih yang lain. Menerusi perbincangan itu kami bersetuju dengan seorang calon untuk mengetuai barisan kejurulatihan yang baharu.

"Kontrak mereka semua akan dimuktamadkan dalam bulan ini juga. Saya berharap ia boleh diselesaikan sebelum hujung bulan ini untuk kita mempersiapkan atlet menghadapi beberapa kejohanan dan temasya sukan utama tahun ini," katanya.

Manshahar memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih selama tiga tahun setengah selepas mengambil alih tugas Zainal Abbas yang meletak jawatan pada Julai 2019.

Antara legasi ditinggalkan Mansahar adalah menjadi individu yang bertanggungjawab membimbing bekas ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu yang berjaya meraih pelbagai kejayaan ketika kerjayanya termasuklah memenangi pingat emas Sukan SEA sebanyak tujuh kali berturut-turut bermula 2005 hingga 2011 selain perak Sukan Asia Doha 2006 dan turut beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008

Selain itu, Manshahar juga menjadi watak penting terhadap kejayaan Nur Sarah Adi untuk beraksi sebagai bidan terjun dalam acara lompat bergalah sehingga membutirkan pingat emas ketika Sukan SEA Hanoi tahun lalu dengan melakukan lompatan setinggi 4 meter.

Berita Harian X