Ahad, 29 Januari 2023 | 8:16pm
Azeem lebur rekod kebangsaan dalam acara 60 meter dalam dewan di Texas semalam.
Azeem lebur rekod kebangsaan dalam acara 60 meter dalam dewan di Texas semalam.

Catatan Azeem petanda positif

KUALA LUMPUR: Masih awal untuk membuat andaian sama ada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu memecah rekod kebangsaannya dalam acara 100 meter (m) meskipun berjaya mencipta sensasi dalam acara 60m dalam dewan di Kejohanan Texas Tech Open & Multi.

Jurulatih yang menaikkan nama Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, walaupun catatan 6.63 saat (s) dilakukan Azeem di bumi Amerika Syarikat, semalam berjaya mengatasi rekod kebangsaan 60m dalam dewan namun persekitarannya adalah berbeza dan tidak boleh disamakan dengan larian 100m di luar.

"Buat masa sekarang ini, saya tak boleh nak jangka kerana 'indoor' suasananya berbeza dengan 'outdoor'.

"Jadi catatan dilakukan Azeem (6.63s), itu bolehlah dikatakan sebagai satu perkembangan (positif), kena bersabar dengan perkembangan ini. Jangan terlalu cepat membuat spekulasi yang dia akan buat sekian, sekian (bagi 100m).

"Ini kerana kita perlu melihat kepada program latihan yang dilaluinya di Amerika Syarikat. Jadi kalau nak kata dia (akan) pecah rekod kebangsaan, saya tak berani kerana musim baharu untuk 'outdoor' masih belum bermula.

"Jadi, tak boleh buat spekulasi dengan apa yang dibuat dalam dewan, akan berlaku untuk 'outdoor' kerana kita tak tahu dan perlu melihat kepada perkembangan latihannya di sana," katanya.

Amir dalam pada itu berkata, musim baharu bagi 'outdoor' dijangka bermula pada Mac ini namun kejohanan yang bakal disertai Azeem masih belum diketahui dan akan ditentukan pihak universitinya, Auburn.

Awal pagi semalam, Azeem melakukan 6.63s di pusingan pertama Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas untuk mengatasi rekod kebangsaan dalam dewan dilakukan Watson Nyambek di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan catatan 10.09s di Kejohanan Dunia Bawah 20 tahun di Cali, Colombia tahun lalu itu kemudian menamatkan saingan final di tempat kedua dengan 6.65s.

Berita Harian X