KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi di bumi Amerika Syarikat apabila mengatasi rekod kebangsaan dalam acara 60 meter (m) dalam dewan yang sebelum ini dipegang Watson Nyambek.
Azeem yang mewakili Auburn (FR) melakukan 6.63 saat (s) di Kejohanan Texas Tech Open&Multi di Texas awal pagi tadi bagi mengatasi rekod Watson 6.66s yang dipegang legenda dari Sarawak itu sejak 24 tahun lalu.
Pada ketika itu, Watson mencatat rekod berkenaan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999 dan selepas lebih dua dekad, catatan itu berjaya diatasi Azeem, kali ini di Amerika Syarikat.
"New national record! (Rekod kebangsaan baharu!), Alhamdulillah," tulis Azeem ringkas dalam Instagram miliknya.
Di awal kejohanan berkenaan, Azeem menamatkan pusingan kelayakan di tempat kelima dengan catatan 6.72s sebelum melakukan 6.63s di pusingan pertama untuk berada dalam senarai lapan peserta ke final.
Di acara final, Azeem melengkapkan larian dengan 6.65s di tempat kedua, manakala Micah Williams yang mewakili Oregon (SO) muncul pemenang, 6.49s. Tempat ketiga menjadi milik Rodnye Heath Jr dari Louisiana Tech (SO), 6.67s.
Dalam pada itu, jurulatih Azeem sebelum ini, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berpuashati dengan prestasi anak didiknya itu yang sudah dapat mengadaptasi cuaca serta persekitaran di sana.
"Saya berpuashati dengan apa yang dilakukannya. Dia sudah dapat mengadaptasi cuaca dan menunjukkan kemajuan. Saya harap, pencapaian ini dapat diteruskan sehingga akhir musim nanti," kata Amir.