KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut wanita negara, Anita Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, pada usia 59 tahun, semalam.
Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata arwah meninggal dunia kira-kira 7.15 malam akibat kanser payudara yang merebak ke hati dan tulang belakang.
"Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan PET (tomografi pancaran positron), dan kanser beliau didapati semakin parah,
"Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya semalam," katanya.
Noorul Ariffin berkata pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air.
Katanya, Anita yang juga ahli YAKEB, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara.
Pada temasya Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4x100 meter dengan catatan 45.37 saat.
- BERNAMA