IPOH: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi memberi jaminan tidak akan melupakan asal-usul dengan kekal setia berbakti kepada negeri kelahirannya, Perak yang dianggap sangat menghargai pencapaian cemerlangnya dalam arena olahraga.
Menurutnya, sebagai anak kelahiran Perak serta membesar dan belajar di negeri ini, beliau tidak pernah terfikir untuk 'lari' ke negeri lain bagi mencurah bakti walaupun mendapat tawaran lumayan.
"Itu (setia) semestinya sebab saya memang lahir dan bersekolah di Perak. Semua tahu saya lahir di Teluk Intan dan bersekolah juga di Teluk Intan sebelum berpindah ke sekolah di Ipoh yang mana masih dalam Perak, dan saya pun tak pernah terfikir untuk lari ke negeri lain.
"Saya rasa kerajaan negeri Perak memang sangat cekap dengan memberi saya bantuan secara terus, dan sebelumnya saya tiada terima pun daripada orang (pihak) lain.
"Apabila kerajaan negeri umumkan (dana khas pendidikan), saya sangat terkejut, tidak sangka. Jadi saya sangat bersyukur atas bantuan diberikan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan dana pendidikan RM600,000 daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, hari ini.
Beliau hadir menerima sumbangan itu bersama bapa, Mohd Fahmi Tajuid, 54, dan ibunya, Norazah Ibrahim, 53.
Minggu lalu, Saarani mengumumkan pemberian Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada Azeem menerusi Belanjawan Perak 2023 yang dibentangkan sebagai galakan kepada anak muda lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan.
Azeem memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu dan akan berangkat ke Universiti of Auburn (UoA), Amerika Syarikat, Ahad ini bagi menyambung pelajaran beliau dan berlatih dengan jurulatih di sana.
Ditanya mengenai azam terdekatnya, beliau berkata ia adalah bagi memperbaharui rekod peribadi supaya mencapai sasaran minimum 10 saat (s) bagi layak ke Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary pada Ogos 2023.
Katanya, pencapaian bagi memecahkan tembok masa itu penting kerana kelayakan ke Budapest juga secara automatik melayakkannya berentap dalam Sukan Olimpik Paris, Perancis 2024 pada tahun berikutnya.
"Seperti semua tahu rekod terbaik saya adalah 10.09s bagi acara 100 meter (m) dan untuk layak ke kejohanan dunia itu serta Olimpik, had kelayakan minimum adalah 10s iaitu kini saya ketinggalan lagi 0.09s.
"Mungkin ada akan kata 0.09s itu nampak sedikit namun bagi saya sebagai atlet sebenarnya ia sangat susah untuk melepasi benteng itu. Tetapi Insya-Allah dengan dorongan ibu bapa, jurulatih dan orang sekeliling, saya yakin mampu mencapainya," katanya.