Khamis, 22 Disember 2022 | 8:06pm
 Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad (dua kanan) menunjukkan Bajet Perak 2023 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad (dua kanan) menunjukkan Bajet Perak 2023 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran.

Azeem dapat dana pendidikan RM600,000 daripada Perak

IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi menerusi Belanjawan Perak 2023 yang dibentangkan di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada pembentangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, pemberian dana berkenaan adalah sebagai galakan kepada anak muda lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan.

Katanya, pemberian itu adalah susulan kejayaan Mohd Azeem iaitu anak kelahiran Perak, mencatatkan sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2 Ogos lalu.

Selain Azeem, Saarani turut mengumumkan pemberian insentif bernilai RM100,000 kepada pasukan hoki lelaki Perak atas kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga pada 16 Oktober lalu.

"Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki lelaki Perak atas kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga.

"Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk memberi insentif bernilai RM100,000 kepada pasukan ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata kerajaan Perak memperuntukkan RM1 juta melalui Belanjawan Perak 2023 kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi mewujudkan bilik hidroterapi atlet dan penyelenggaraan bangunan MSN manakala RM11.8 juta lagi disediakan di bawah Belanja Mengurus.

Katanya lagi, bagi terus menyokong pembangunan sukan di negeri ini, kerajaan Perak turut menyediakan peruntukan lain antaranya RM1.4 juta untuk sewaan fasiliti sukan; Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) (RM600,000) dan Program Sukan Perak (RM500,000).

Selain itu, Program Sukan dan Sukan OKU (Orang Kurang Upaya) RM400,000; program sukan e-sport (RM200,000) dan Program Sukan Daerah (RM120,000).

Berita Harian X