KUALA LUMPUR: Selepas menutup musim 2022 dengan keputusan positif, pelari pecut dari Sabah, Aishah Rofina Aling kini mahu memberi tumpuan memburu slot kelayakan ke Sukan SEA Kemboja tahun depan.
Aishah menutup kempen 2022 dengan cemerlang apabila meraih gelaran ratu pecut pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) semalam dan baginya, masih ada ruang untuk membuat penampilan sulung pada temasya peringkat Asia Tenggara itu.
Beliau berhasrat layak secara automatik ke Kemboja dan untuk itu, dia harus melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu 11.66 saat (s). Katanya, ia boleh direalisasikan pada dua kejohanan yang bakal disertainya tahun depan.
Aisyah dijadual membuka musim 2023 dengan menyertai Terbuka Malaysia pada Januari ini dan satu lagi kejohanan pada Mac dengan kedua-duanya menjadi pentas terbaik untuknya meraih slot ke Sukan SEA Kemboja.
"Tak mustahil untuk saya melepasi had kelayakan itu sekiranya berdasarkan prestasi semasa ketika ini," kata atlet Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang meraih emas pada Kejohanan Olahraga IPT 2022 (Grand Final) dengan catatan 12.01s.
"Semalam, saya yakin mampu melakukan yang lebih baik, cuma mungkin disebabkan faktor cuaca dan trek basah menyebabkan saya sukar untuk beraksi dengan lebih baik.
"Walaupun bukan tugas mudah untuk melepasi had kelayakan itu, saya tidak akan berputus asa dan akan berusaha lebih gigih lagi. Saya mempunyai dua kejohanan bagi merebut tempat ke Sukan SEA dan saya akan gunakannya dengan sebaik-baiknya."
Pada perlumbaan final 100 meter (m) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Aishah mencatat masa 12.01s untuk meraih emas manakala pencabar utama Zaidatul Husniah Zulkifli meraih perak, (12.07s). Gangsa dimenangi Nor Sarah Adi dengan catatan 12.27s.
"Saya selalu bersaing dengan mereka pada kejohanan besar. Saya tak sangka, tetapi saya sudah membuat persiapan dan hanya melakukannya saja. Alhamdulillah, penutup yang terbaik bagi musim ini.
"Selepas ini, saya mahu bersiap sedia untuk layak ke Sukan SEA," katanya mengulas mengenai kejayaannya itu.