Khamis, 6 Oktober 2022 | 10:59am
Carl Lewis (kiri) dan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Carl Lewis (kiri) dan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Carl Lewis, Universiti Houston 'tak layan' Azeem

KUALA LUMPUR: Universiti Houston tidak berada dalam senarai akhir pilihan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk dia melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, atlet berusia 18 tahun itu dilaporkan hampir pasti memilih Universiti Houston sebagai 'rumah keduanya' sekali gus bakal mendapat bimbingan pemenang pingat emas sembilan kali Sukan Olimpik, Carl Lewis yang memikul tugas selaku ketua jurulatih trek dan balapan universiti berkenaan.

Bagaimanapun, bapanya, Mohd Fahmi Tajuid, berkata sehingga sekarang tiada sebarang maklum balas diterima daripada Universiti Houston mengenai peluang untuk Azeem melanjutkan pengajian di sana sekali gus memaksa mereka melihat kepada pilihan lain.

Katanya, empat universiti ketika ini berada dalam senarai akhir iaitu Universiti Auburn, Florida, Texas A&M dan Alabama dengan kesemuanya menawarkan biasiswa penuh kepada Azeem.

"Empat universiti berkenaan sudah memberikan maklum balas dan menawarkan tempat untuk Azeem berserta dengan biasiswa penuh. Namun, bentuk biasiswa yang ditawarkan mereka tidak sama antara satu sama lain.

"Ini yang membuatkan kami memerlukan bantuan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) yang mempunyai pengalaman dalam hal ini untuk memberikan pandangan bagi memilih universiti terbaik.

"Insya-Allah, kami akan mengadakan perbincangan dengan MSN minggu depan bagi menentukan universiti terbaik untuk Azeem," katanya kepada BH Sukan.

Mohd Fahmi, berkata keempat-empat universiti yang disenarai pendekkan itu mempunyai kelebihan masing-masing tetapi yang paling utama kesemuanya beraksi dalam Divisyen Satu Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di AS.

Universiti Auburn ketika ini mendapat sentuhan pemenang emas Sukan Olimpik 1992 acara 4x100 meter (m) AS dan bekas pemegang rekod dunia 100m, Leroy Burrell yang memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih trek dan balapan universiti berkenaan.

"Banyak faktor yang perlu diperhalusi sebelum keputusan dibuat kerana kami mahukan yang terbaik untuk Azeem. Dia ke AS untuk mengembangkan kerjaya olahraganya dan pada masa yang sama untuk mengejar cita-cita dalam pengajiannya," katanya.

Azeem mencetuskan fenomena apabila dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 21 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul HafizJantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Dia kemudiannya membuktikan statusnya itu apabila bergelar raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 selepas menungguli saingan 100m dengan catatan 10.25s.

Berita Harian X