Khamis, 14 Julai 2022 | 6:06pm
 Gambar fail - Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaannya memenangi pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, AS, 12 Mac lalu.
Gambar fail - Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaannya memenangi pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, AS, 12 Mac lalu.

Shereen dapat tonik terbaik menjelang kejohanan dunia di AS

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy mendapat tonik terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Oregon, Amerika Syarikat (AS) bermula, esok menerusi kehadiran ibunya yang juga bekas atlet kebangsaan, Josephine Mary sebagai pengurus pasukan.

Ini adalah kali pertama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melantik individu yang bukan di kalangan pemegang jawatan dalam badan i nduk itu sebagai pengurus pasukan sekali gus membuktikan kesungguhan kepimpinan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk melakukan tranformasi dalam KOM.

Shahidan berkata dua atlet akan menggalas cabaran negara di Kejohanan Dunia kali ini iaitu jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa yang layak secara merit selain Shereen yang diberikan tiket 'wild card' bagi beraksi dalam acara 400m.

"Kami putuskan untuk menghantar Josephine iaitu ibu kepada Shereen kali ini yang diharapkan dia dapat menyaksikan, menggalakkan dan memberi sokongan moral kepada anaknya yang akan bertanding dalam acara 400m pada 17 Julai (Ahad ini).

"Josephine juga akan mengalas tugas sebagai pengurus kepada Nauraj dan saya yakin sebagai bekas atlet antarabangsa Josephine lebih pakar tentang persediaan dan sokongan moral yang diperlukan atlet pada tahap maksimum.

"Pemilihan Josephine ini adalah pendekatan kali pertama yang dibuat KOM menghantar pengurus pasukan bukan di kalangan pemegang jawatan dalam KOM," katanya.

Sementara itu, Shereen yang berpangkalan di AS, mengintai peluang bagi memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400m berusia 29 tahun milik Rabiah Abdul Salam dengan catatan 52.56 saat (s).

Ibunya menjadi pelari kedua terpantas negara dalam acara itu dengan catatan 52.65s manakala catatan terbaik Shereen 52.68s.

Nama pelari berusia 24 tahun itu mula menjadi sebutan selepas kejayaannya memenangi pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, 12 Mac lalu dengan catatan 53.79 saat (s).

Lebih membanggakan catatan berkenaan turut memecahkan rekod kebangsaan dalam dewan 54.58s milik Noraseela Mohd Khalid yang dicatat 16 tahun lalu di Jerman.

Berita Harian X